Raul Longhi latih JDT

Dilantik sebagai caretaker coach bimbing skuad Harimau Selatan


PEMBANTU jurulatih kelab Johor Darul Takzim (JDT), Raul Longhi dilantik sebagai jurulatih sementara bagi menggantikan Ulisses Morais yang meletak jawatan kelmarin.
Perkara itu diumumkan Presiden kelab bola sepak JDT, Tunku Tun Aminah Sultan Ibrahim semalam.
Menurut Tunku Tun Aminah, pemilihan Raul bagi menggantikan Morais adalah berdasarkan pengalamannya mengendalikan skuad Harimau Selatan itu selaku pembantu jurulatih selama tiga tahun.
“Kami ingin mengumumkan bahawa Raul Longhi akan mengambil alih tugas sebagai caretaker coach kelab bola Sepak JDT.
“Selain mempunyai pengalaman menjadi caretaker coach di kelab Espanyol, pengalaman bersama kelab JDT selama tiga tahun dan arif mengenai kelab serta falsafah bola sepak JDT menjadi faktor beliau dilantik untuk melatih JDT.
“Oleh itu kelab telah memutuskan untuk beliau menjadi caretaker coach dan akan dibantu oleh penolong jurulatih JDT, Ismail Ibrahim,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook rasmi Johor Southern Tigers.
Raul, 66, yang dilahirkan di Mar De Parta, Argentina berpengalaman hampir 30 tahun mengendali pelbagai kelab bola sepak Espanyol sebelum memulakan kariernya selaku pembantu jurulatih bersama JDT sejak tahun 2016.
Kosmo! semalam melaporkan, Morais mengejutkan skuad Harimau Selatan apabila mengumumkan meletak jawatan kelmarin.
Morais, 58, melepaskan jawatan penting itu selepas hampir setahun menerajui juara Liga Super empat kali itu berikutan terpaksa akur dengan masalah kesihatan keluarga.

Ulasan