JOHOR BAHRU 26 Feb. - Kelab Bolasepak Johor
Darul Ta'zim (JDT) mengumumkan Raul Longhi akan mengambil tugas sebagai
'caretaker coach' kelab itu bagi mengisi kekosongan yang ditinggalkan Ulisses
Morais.
Pengumuman tersebut dibuat Presiden Kelab JDT,
Tunku Tun Aminah Sultan Ibrahim dalam entri terbaharu laman Facebook rasmi
Kelab Bolasepak JDT, JOHOR Southern Tigers sebentar tadi.
Menurut Tunku Aminah, selain mempunyai
pengalaman menjadi 'caretaker coach' kelab Espanyol, pengalaman bersama-sama
kelab JDT selama tiga tahun dan arif mengenai kelab serta falsafah bola sepak
JDT menjadi faktor beliau dilantik untuk melatih JDT.
"Oleh itu kelab telah memutuskan untuk
beliau menjadi ‘caretaker coach’ dan akan dibantu oleh Ismail Ibrahim, Penolong
Jurulatih JDT," katanya.
Semalam, Ulisses Morais dari Portugal
mengumumkan meletak jawatan sebagai pengurus dan ketua jurulatih JDT dengan
memberi alasan masalah kesihatan keluarganya.
Jurulatih yang bakat bola sepaknya digilap di
Akademi Benfica itu membantu JDT memenangi Liga Super untuk kali keempat
berturut-turut tahun lalu dan kemudian menerima gelaran keduanya apabila
membimbing Harimau Selatan menewaskan Kedah dalam perlawanan akhir Piala
Malaysia. - UTUSAN ONLINE.
Ulasan
Catat Ulasan