Rantai barisan tengah JDT, Woo Young


PEMAIN tengah Melaka United, Jeon Woo Young. - Foto Muhammad Zuhairi Zuber

MELAKA: Pemain tengah Melaka United (MU), Jeon Woo Young yakin jika skuad itu mampu mengekang pergerakan barisan tengah Johor Darul Ta'zim (JDT) pada aksi Liga Super malam esok, pasti keputusan positif mampu diperoleh.
Katanya, berdepan skuad terbaik negara itu bukanlah satu tugasan mudah berikutan kemantapan barisan tengah yang diketuai Safiq Rahim.
"Tugas untuk melemahkan barisan tengah mereka adalah ujian yang sukar, namun jika berjaya ia bakal menghalang pemain tuan rumah melakukan hantaran kepada penyerang untuk menjaringkan gol.
"Harapan sekurang-kurangnya satu mata mampu dibawa pulang jika mampu menghalang mereka mendapatkan gol. Selepas menang 3-0 mengatasi Negeri Sembilan baru-baru ini, moral pemain MU kian meningkat bagi mengharungi saingan di Larkin," kata import dari Korea Selatan itu.
Woo Young bagaimanapun berkata, JDT bukan lawan mudah, malah pasukan berkenaan memiliki kelebihan untuk melakar kemenangan tambahan aksi di gelanggang sendiri.
"Sehubungan itu, usaha dan komitmen tinggi dalam kalangan pemain dengan fokus jitu mampu membuahkan hasil memberangsangkan," katanya.

Ulasan