Persija sedia serap tekanan


PENYERANG Persija Jakarta, Rudi Widodo tetap menganggap pertembungan menentang Johor Darul Ta’zim (JDT) pada aksi Kumpulan H Piala AFC di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, malam esok bukan mudah namun akan berusaha untuk menoktahkan kemenangan.
Katanya, walaupun terpaksa menempuh jadual padat tatkala baru sahaja beraksi dalam perlawanan separuh akhir Piala Presiden menentang PSMS Medan, pasukannya tetap akan turun berdepan JDT dalam usaha mencari sekurang-kurangnya satu mata untuk dibawa pulang ke Jakarta, Indonesia.
“Kami diperkuatkan dengan segala elemen terutama kekuatan fizikal dan mental dan kami akan turun menentang JDT dengan semangat juang yang tinggi walaupun kami tahu ia perlawanan sukar di tempat lawan.
“Tiada alasan untuk kami berada dalam keletihan kerana ia akan menjejaskan tumpuan sebaliknya kami sudah bersedia mengharungi 90 minit perlawanan dan berusaha beri tentangan sengit.
“Pasukan JDT dibarisi pemain yang hebat terutama pemain import dan tempatan, sudah tentu mereka akan beri tekanan kepada kami namun kami sudah bersedia untuk menyerap apa jua tekanan dan beraksi konsisten bagi mengecewakan mereka,” katanya.
Bagi Widodo walaupun JDT adalah kelab yang besar, dia menegaskan betapa Persija lebih besar dari skuad Harimau Selatan kerana memiliki kekuatan tersendiri dengan sokongan padu daripada penyokong yang dikenali [Jakmania’ yang mampu beri suntikan semangat pada perlawanan itu nanti.
Tambahnya, kesemua rakan sepasukan sepakat untuk memulakan aksi pertama Piala AFC untuk mencari kemenangan kerana aksi pertama menjadi penentu hala tuju pasukan itu mengharungi saingan kelab Asia itu.
Katanya, Persija juga diperkuatkan dengan kelibat Bambang Pamungkas yang merupakan pemain legenda Persija dan mampu menyuntik semangat setiap pemain untuk beraksi konsisten dalam perlawanan itu nanti.
“Dengan adanya Bambang sudah tentu ia beri motivasi kepada kami semua untuk memperagakan aksi terbaik kerana dia adalah pemain contoh dalam Persija malah kami menghormatinya sebagai pemain legenda,” kata Widodo.

Ulasan