PEMAIN JDT, Jorge Rolando Pereyra Diaz (tengah), melakukan tendangan sambil dihalang pemain pertahanan Melaka, Steven Gary Harvey Thicot, di Stadium Tan Sri Hassan Yunos Larkin. - Foto BERNAMA
JOHOR BAHRU: Walaupun menang selesa 3-0 menewaskan Melaka United (MU), pengendali Johor Darul Ta'zim (JDT), Ulisses Morais, tidak menafikan tindakan pemainnya memperlahankan tempo perlawanan menjejaskan peluang untuk menambah jaringan.
Bagaimanapun, pengendali kelahiran Portugal itu tidak cepat melatah selepas anak didiknya gagal menambah jaringan apabila tetap berpuas hati dengan penguasaan Harimau Selatan yang menyaksikan pemain MU hilang punca bagi sebahagian besar permainan.
"Apa yang anda katakan adalah benar. Pemain beraksi dengan baik pada babak pertama dan sering beri tekanan buat pertahanan MU selain menjaringkan gol.
"Tapi pada babak kedua, mereka memperlahankan tempo permainan kerana sudah selesa dengan 3-0. Pemain saya juga menanti reaksi lawan tapi mereka seolah-olah tidak melawan yang sekali gus memudahkan kami menguasai perlawanan.
"Selain itu, pemain memilih untuk memperlahankan tempo kerana kami akan berdepan aksi Piala AFC, menentang kelab Vietnam, Rabu ini," katanya.
Morais juga menegaskan pada perlawanan itu, beberapa pertukaran dilakukan apabila mengeluarkan kapten Safiq Rahim yang dikenakan kad kuning manakala Azrif Nasrulhaq Badrul Hisham dan Gonzalo Cabrera mengalami kecederaan.
Malah, beliau memuji gandingan Marcos Antonio dan Fadhli Shas yang membentuk benteng ampuh apabila menyukarkan bahagian serangan skuad kendalian Eduardo Almeida menembusi pertahanan JDT.
Sementara itu, pengendali MU, Eduardo Almeida, menyifatkan kekalahan mereka berpunca daripada kegagalan barisan serangan melakukan penyudah tepat.
"Beza antara kami dan JDT adalah lawan mengambil peluang menjaringkan gol manakala kami juga ada peluang tapi tidak memanfaatkannya.
"Kami sudah beri yang terbaik namun gagal jaringkan gol. Itu sahaja yang memisahkan antara kami dan JDT," katanya.
Ulasan
Catat Ulasan