Penyokong Sabah enggan terlepas aksi hangat


Kota Kinabalu: Dalam tempoh kurang tiga jam, kuota 10,000 tiket perlawanan pusingan kedua Piala FA antara Sabah dengan Johor Darul Ta’zim (JDT) telah habis dijual di Stadium Likas, di sini, semalam.
Kuota itu sebahagian daripada 21,000 tiket yang diperuntukkan untuk perlawanan itu dengan 11,000 keping lagi akan mula dijual hari ini, bermula jam 9 pagi.
Tinjauan Sukan NSTP ke Stadium Likas mendapati orang ramai mula beratur di hadapan kaunter tiket seawal jam 8 pagi. Kaunter penjualan tiket yang sepatutnya hanya dibuka pada jam 10 pagi juga terpaksa dibuka sejam lebih awal oleh pihak Persatuan Bolasepak Sabah (SAFA) disebabkan orang ramai beratur sehingga sampai ke jalan raya. Seorang penyokong, Muhd Rafix Jool, 26, dari Ranau berkata, dia sanggup datang awal ke stadium untuk membeli tiket kerana takut kehabisan dan terlepas aksi perlawanan yang dianggapnya hebat itu.
“Saya tidak pernah terlepas aksi Sabah di Stadium Likas sebelum ini, apatah lagi mereka akan bertemu JDT, esok (hari ini). Mungkin orang ramai mahu datang ke stadium sebab mahu tengok JDT bermain, tapi bagi saya, menyokong pasukan Sabah lebih penting,” katanya.
Seorang lagi penyokong, Jamree Jainin, 29, berkata, dia mewakili ahli keluarganya untuk membeli tiket perlawanan berkenaan.
“Kami sekeluarga dan saudara-mara lain tidak mahu melepas peluang menyaksikan perlawanan ini, saya beli 30 keping tiket. Ya sudah pasti kami tidak mahu terlepas peluang kerana lawan Sabah nanti adalah antara pasukan terkuat di Malaysia. Apa yang kami harapkan ialah permainan menarik kedua-dua pasukan,” katanya yang datang bersama anak perempuan berusia empat tahun.
Perlawanan bermula jam 8.15 malam ini dijangka menjadi tumpuan peminat bola sepak di negeri ini kerana kehadiran JDT yang berstatus kelab gergasi negara ketika ini.

Ulasan