JOHOR BAHRU: Tindakan
Ulisses Morais melepaskan jawatan selaku ketua jurulatih Johor Darul Ta'zim
(JDT) di atas faktor kesihatan keluarga dan tidak lagi membimbing pasukan itu
mengharungi kempen Liga Malaysia (Liga M) dan Piala AFC nyata mengejutkan peminat
bola sepak skuad Harimau Selatan.
Presiden Kelab Penyokong
Bolasepak Johor Darul Ta'zim (KPBJDT), Azman Jalil mengakui terkejut apabila
mengetahui perkara itu namun perlu menghormati keputusan yang dibuat oleh
pengendali kelahiran Portugal itu.
Katanya, sebagai penyokong
JDT, beliau amat terkejut dengan berita berkenaan namun pasrah dengan keputusan
yang dibuat oleh Morais tatkala mengutamakan keluarga yang memerlukannya di
sisi.
"Itu keputusan yang
dibuat oleh Morais dan kami sebagai penyokong harus menghormati dan kita tahu
keluarga beliau memerlukannya di sisi. Jadi kita terima apa jua keputusan
dengan hati terbuka.
"Sepanjang beliau
membimbing JDT, banyak perubahan dari aspek permainan dilakukan malah saya
tidak nafikan sentuhan beliau membimbing JDT berjaya cetus impak positif dalam
pasukan itu.
"Beliau sentiasa
menghormati penyokong dan kami amat berbangga dengan pencapaiannya ketika
membimbing JDT sehingga membawa kejayaan selepas merangkul Liga Super untuk
empat musim berturut-turut dan muncul juara buat pertama kali Piala
Malaysia," katanya.
Morais yang menyertai JDT
pada 19 Jun musim lalu menggantikan Benjamin Mora yang kembali ke Johor Darul
Ta'zim II (JDT II).
Namun ketika baru
mengharungi empat aksi Liga Super, beliau mengambil keputusan untuk mengundur
diri daripada membimbing skuad itu di atas faktor kesihatan keluarga.
Walaupun belum ada sebarang
pengumuman mengenai Morais oleh pengurusan JDT, Azman berharap kualiti ketua
jurulatih yang bakal dilantik mampu membawa skuad Harimau Selatan mengecapi
kejayaan pada musim ini tatkala pemburuan utama untuk muncul juara Liga Super
untuk musim kelima berturut-turut.
Katanya, pemburuan
kejuaraan liga amat penting memandangkan pada musim depan, juara liga secara
merit akan beraksi dalam saingan kumpulan Liga Juara-Juara Asia (ACL) dan tidak
perlu lagi mengharungi saingan kelayakan.
"Kami berharap sesiapa
sahaja yang membimbing JDT mampu membawa kejayaan dan menepati falsafah bola
sepak yang diterapkan oleh Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim sejak
2013.
"Malah kami sebagai
penyokong tegar percaya kemampuan Tunku Ismail mencari ketua jurulatih yang
berkaliber bagi menggantikan Morais dalam usaha memastikan JDT berada di tahap
yang terbaik," kata Azman.
Ulasan
Catat Ulasan