TERENGGANU FC
kendalian Irfan Bakti Abdul Salim (kanan) akan menerima kunjungan JDT pada aksi
di Kuala Terengganu, 10 Mac ini. - Foto Ghazali Kori
KUALA LUMPUR: Krisis yang
melanda Johor Darul Ta'zim (JDT) ketika ini dilihat memberi harapan kepada
pasukan lain dalam usaha menamatkan dominasi juara Liga Super empat kali itu.
Walaupun masih terlalu awal
untuk menyatakan penguasaan skuad Harimau Selatan itu bakal berakhir musim ini,
peluang untuk melakukan kejutan itu disifatkan sudah terbuka.
Kekalahan tiga kali
berturut-turut pada aksi di tempat lawan dan pemergian jurulatih, Ulisses
Morais serta penyerang prolifik, Jorge Pereyra Diaz menjadi krisis pasukan itu
musim ini.
Pasukan yang mampu
memanfaatkan kesempatan itu adalah Terengganu yang kini hanya ketinggalan satu
mata di belakang JDT dan bakal melayan kunjungan mereka pada aksi di Kuala
Terengganu, 10 Mac ini.
Pengendalinya, Irfan Bakti
Abu Salim optimis musim ini menjadi detik paling sesuai untuk menafikan
kejuaraan liga buat JDT selepas pasukan bimbingannya itu belum lagi tewas dalam
empat perlawanan setakat ini.
"Bukan setakat
Terengganu yang mahu menghentikan penguasaan JDT tapi ada lagi pasukan lain
seperti Pahang dan juga PKNS FC.
"Seseorang perlu
mengambil cabaran dan saya rasa kita akan menjadi pencabar kepada mereka. Tidak
masuk akal untuk satu pasukan meraih kejuaraan liga untuk empat musim
berturut-turut," katanya.
Masalah yang membelenggu
JDT mungkin menyaksikan saingan liga berlangsung lebih sengit namun Irfan
mengakui pasukan selatan tanah air itu tetap menjadi lawan yang perlu
ditewaskan.
"Mereka masih memiliki
pemain yang baik dan kebanyakannya beraksi untuk skuad kebangsaan.
"JDT masih menjadi
pasukan yang perlu ditewaskan tapi kami akan cuba sebaik mungkin untuk
memenangi gelaran liga. Peluang masih ada," katanya.
Dalam perkembangan lain,
Irfan menegaskan pasukannya tidak akan memandang rendah cabaran PJ Rangers
dengan mereka akan menurunkan barisan terkuatnya pada aksi pusingan kedua Piala
FA di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), petang esok.
"Kita ada lebih
seminggu untuk bersedia dan saya tidak mahu pemain mengambil mudah perlawanan
ini. Saya mahu mereka kekal fokus walaupun kami bakal berdepan aksi penting
bertemu JDT selepas ini.
"Mungkin kami belum
tewas tapi baru empat perlawanan. Pemain perlu terus bekerja keras dan tidak
boleh berasa selesa," katanya.
Ulasan
Catat Ulasan