KRISIS yang melanda Johor Darul Ta’zim (JDT) ketika ini dilihat
memberi harapan kepada pasukan lain dalam usaha menamatkan dominasi juara Liga
Super empat kali itu.
Walaupun masih terlalu awal untuk menyatakan penguasaan skuad
Harimau Selatan itu bakal berakhir musim ini, peluang untuk melakukan kejutan
itu disifatkan sudah terbuka.
Kekalahan tiga kali berturut-turut pada aksi di tempat lawan dan
pemergian jurulatih, Ulisses Morais serta penyerang prolifik, Jorge Pereyra
Diaz menjadi krisis pasukan itu musim ini.
Pasukan yang mampu memanfaatkan kesempatan itu adalah Terengganu
yang kini hanya ketinggalan satu mata di belakang JDT dan bakal melayan
kunjungan mereka pada aksi di Kuala Terengganu, 10 Mac ini.
Pengendalinya, Irfan Bakti Abu Salim optimis musim ini menjadi
detik paling sesuai untuk menafikan kejuaraan liga buat JDT selepas pasukan
bimbingannya itu belum lagi tewas dalam empat perlawanan setakat ini.
PEMAIN TFC kini berada
di tahap terbaik. FOTO/FAIL
“Bukan setakat Terengganu yang mahu menghentikan penguasaan JDT
tapi ada lagi pasukan lain seperti Pahang dan juga PKNS FC.
“Seseorang perlu mengambil cabaran dan saya rasa kita akan
menjadi pencabar kepada mereka. Tidak masuk akal untuk satu pasukan meraih
kejuaraan liga untuk empat musim berturut-turut,” katanya.
Masalah yang membelenggu JDT mungkin menyaksikan saingan liga
berlangsung lebih sengit namun Irfan mengakui pasukan selatan tanah air itu
tetap menjadi lawan yang perlu ditewaskan.
“Mereka masih memiliki pemain yang baik dan kebanyakannya beraksi
untuk skuad kebangsaan.
“JDT masih menjadi pasukan yang perlu ditewaskan tapi kami akan
cuba sebaik mungkin untuk memenangi gelaran liga. Peluang masih ada,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Irfan menegaskan pasukannya tidak akan
memandang rendah cabaran PJ Rangers dengan mereka akan menurunkan barisan
terkuatnya pada aksi pusingan kedua Piala FA di Stadium Majlis Bandaraya
Petaling Jaya (MBPJ), petang esok.
“Kita ada lebih seminggu untuk bersedia dan saya tidak mahu
pemain mengambil mudah perlawanan ini. Saya mahu mereka kekal fokus walaupun
kami bakal berdepan aksi penting bertemu JDT selepas ini.
“Mungkin
kami belum tewas tapi baru empat perlawanan. Pemain perlu terus bekerja keras
dan tidak boleh berasa selesa,” katanya.
Ulasan
Catat Ulasan