Langkau ke kandungan utama

Morais tinggalkan JDT

ULISSES MORAIS memberi arahan kepada pemain  dalam tugasan terakhirnya selaku pengurus dan ketua jur
ULISSES MORAIS memberi arahan kepada pemain dalam tugasan terakhirnya selaku pengurus dan ketua jurulatih JDT ketika menentang Melaka United di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Johor Bahru semalam. UTUSAN/NUR AISYAH MAZALAN
JOHOR BAHRU 25 Feb. - Ulisses Morais mencipta kejutan apabila mengumumkan meletak jawatan sebagai pengurus Johor Darul Ta’zim (JDT) hari ini ketika pasukannya kembali ke tempat teratas carta Liga Super.
Peletakan jawatan ketua jurulatih dari Portugal itu berkuat kuasa hari ini dan beliau memberi alasan masalah kesihatan keluarga.
“Hari ini adalah hari yang sangat menyedihkan buat saya, tugasan saya berakhir di kelab terhebat ini. Segala hal dalam kehidupan perlu ada keutamaan. Di atas sebab-sebab kesihatan keluarga, saya terpaksa meninggalkan anda dan kelab ini.
“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua kakitangan, pemain dan seluruh struktur (kelab) sepanjang sembilan bulan kami menghabiskan bersama-sama dengan begitu banyak pencapaian dan kejuaraan yang dicapai.
“Juga kepada pembantu jurulatih setia saya, Rui Rodrigues yang menemani saya selama ini, terima kasih. Bersama anda, tugas di sini menjadi lebih mudah,” katanya dalam entri terbaharu Facebook Johor Southern Tigers hari ini.
Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada penyokong JDT di atas sokongan dan penghormatan yang diberikan setiap hari.
“Kepada Encik Jay, Alistair Edwards dan Mr. Davids, saya memberitahu anda diluar sana, sebenarnya mereka adalah orang yang sangat penting di kelab hebat ini.
“Kepada Martin Prest, semuanya bermula dengan anda. Anda adalah teman sejawatan, penyokong setia, kaunselor, rakan dan individu yang sangat profesional. Anda sebenarnya seorang lelaki yang hebat dengan kebijaksanaan dan keupayaan anda. Terima kasih atas segala-galanya,” katanya.
Morais juga mengucapkan terima kasih kepada pemilik kelab Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang disifatkan sebagai seorang lelaki muda berbakat, pintar dan memiliki kepimpinan tinggi dan dilahirkan sebagai juara.
“Saya berkongsi pendapat dengan baginda berjam-jam dalam satu hari, sama ada di rumahnya atau di kelab di mana baginda selalu melayan saya dengan penuh penghormatan, pendidikan dan persahabatan, memenuhi semua keperluan untuk berjaya hingga saat terakhir saya di sini.
“Baginda adalah seorang yang berwawasan. Apa yang difikirkan, tidak lama selepas itu akan berlaku. Dengan mempunyai rasa hormat yang tinggi terhadap penyokong dan masyarakat Johor, menjadikan baginda adalah yang terbaik.
“JDT sentiasa berada dalam hati saya,” katanya yang turut mendoakan kejayaan berterusan skuad Harimau Selatan itu.
JDT bagaimanapun belum mengumumkan siapa yang akan mengambil alih tugas Morais.
Jurulatih yang bakat bola sepaknya digilap di Akademi Benfica itu membantu JDT memenangi Liga Super untuk kali keempat berturut-turut tahun lalu dan kemudian menerima gelaran keduanya apabila membimbing Harimau Selatan menewaskan Kedah dalam perlawanan akhir Piala Malaysia.

Ulasan