Morais tinggalkan JDT


JOHOR BAHRU 25 Feb. - Ketua Jurulatih Kelab Bolasepak Johor Darul Ta'zim (JDT), Ulisses Morais mengakhiri tugasnya untuk melatih JDT hari ini selepas sembilan bulan membimbing pasukan itu.

Beliau dalam entri terbaharu JOHOR Southern Tigers melahirkan rasa sedih kerana terpaksa meninggalkan kelab itu.

Morais turut menzahirkan rasa terima kasih dan kekagumanya kepada pemilik kelab JDT, Tunku Ismail Sultan Ibrahim.

"Hari ini adalah hari yang sangat menyedihkan buat saya, tugasan saya berakhir di kelab terhebat ini. Segala hal dalam kehidupan perlu ada keutamaan. Di atas sebab-sebab kesihatan keluarga, saya terpaksa meninggalkan anda dan kelab ini.

"Saya ingin ucapkan terima kasih kepada semua kakitangan, pemain dan seluruh struktur sepanjang sembilan bulan kami menghabiskan bersama-sama dengan begitu banyak pencapaian dan kejuaraan yang dicapai. Juga kepada pembantu jurulatih setia saya, Rui Rodrigues yang menemani saya selama ini, terima kasih. Bersama anda, tugas disini menjadi lebih mudah.

"Dan juga kepada nadi utama dan jantung utama kelab hebat ini, DYAM Tunku Mahkota Johor, Seorang lelaki muda yang tidak dapat dinafikan bakat, kepintaran dan kepimpinan yang dimiliki. Dilahirkan sebagai juara," katanya.

Morais memberitahu, Tunku Ismail sentiasa melayannya dengan penuh penghormatan dan memenuhi semua keperluan untuk berjaya sehingga saat terakhir di sini selain berkongsi pendapat selama berjam-jam dalam sehari baik di rumah atau di kelab. - UTUSAN ONLINE

Ulasan