Langkau ke kandungan utama

Morais tinggalkan JDT selepas sembilan bulan

Ulisses Morais - Gambar fail
Ulisses Morais - Gambar fail
JOHOR BAHRU - Pendahulu Liga Super, Johor Darul Ta'zim (JDT) menerima tamparan hebat apabila Ulisses Morais mengumumkan meletak jawatan sebagai ketua jurulatih pasukan itu berkuatkuasa hari ini.
Beliau dalam entri terbaharu akaun rasmi Facebook kelab JDT, Johor Southern Tigers, berkata keputusan itu terpaksa diambil atas faktor kesihatan keluarga.
"Hari ini adalah hari yang sangat menyedihkan buat saya, tugasan saya berakhir di kelab terhebat ini. Segala hal dalam kehidupan perlu ada keutamaan. Di atas sebab-sebab kesihatan keluarga, saya terpaksa meninggalkan anda dan kelab ini," kata jurulatih berusia 58 tahun itu.
Morais juga merakamkan penghargaan kepada semua kakitangan, pemain dan seluruh struktur kelab berkenaan yang telah banyak membantunya dalam membentuk satu pasukan yang hebat serta penyokong JDT yang  sering mengambil berat dan memberikan penghormatan kepadanya.
Beliau menzahirkan terima kasih kepada pemilik kelab itu iaitu Tunku Ismail Sultan Ibrahim kerana telah memberikan kepercayaan kepadanya dalam mengendalikan kelab itu.
Jurulatih kelahiran Portugal itu dilantik sebagai ketua jurulatih JDT pada 19 Jun tahun lalu bagi menggantikan Benjamin Mora.
 Morais, yang dibantu Rui Rodrigues dalam pasukan JDT, pernah berkhidmat dengan beberapa kelab ternama Portugal seperti Famalicao dan Aves, sebelum beralih kepada JDT.
Di bawah pengendaliannya, JDT mengecapi pelbagai kejuaraan termasuk menjuarai Liga Super buat kali keempat berturut-turut serta merangkul kejuaraan Piala Malaysia buat kali pertama. - Bernama

Ulasan