PENGENDALI JDT, Ulisses Morais tetap mengambil pendekatan berhati-hati
apabila berdepan Kuala Lumpur, malam esok. - Foto JOHOR Southern Tigers
JOHOR BAHRU: Tiada istilah
selesa buat Johor Darul Ta'zim (JDT) selepas melakar dua kemenangan
berturut-turut sebaliknya perlu berdepan tugas getir apabila berdepan Kuala
Lumpur pada aksi Liga Super di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras, malam
esok.
Pengendali JDT, Ulisses
Morais tetap mengambil pendekatan berhati-hati apabila berdepan skuad kendalian
Fabio Maciel yang pasti akan bangkit selepas tumpas dalam dua perlawanan liga
baru-baru ini.
Apa pun pengendali dari
Portugal itu tetap meletakkan sasaran kemenangan apabila berdepan skuad Warga
Kota kerana ia misi utama skuad Harimau Selatan yang beraksi di tempat lawan
selepas garang di laman sendiri hasil kemenangan ke atas Kedah 2-1 dan PKNP FC
3-1, baru-baru ini.
"Pertama kali kami
akan beraksi di Cheras dan saya optimis keadaan padang di stadium berkenaan
dalam keadaan baik kerana saya difahamkan padang di stadium berkenaan baru saja
dibaik pulih dan ia penting kerana beri ruang kepada pemain memperagakan
taktikal yang dirancang.
"Biarpun kami
kesuntukan masa dan hanya mampu melakukan proses pemulihan sahaja selepas aksi
menentang PKNP FC namun persiapan tetap berjalan lancar dan semangat pemain
tampak begitu tinggi.
"Kami juga menyelidik
corak permainan lawan dan saya akan mengarahkan setiap pemain yang bakal
diturunkan supaya sentiasa fokus dalam perlawanan itu dan mengekalkan momentum
permainan tanpa membuat kesilapan," katanya.
Morais juga kemungkinan
akan menurunkan kesebelasan terbaik pada perlawanan itu dan kelibat Marcos
Antonio yang tidak beraksi ketika menentang PKNP FC bakal menguatkan benteng
pertahanan JDT.
Beliau berkata, Kuala
Lumpur bagaikan pasukan yang terluka dan mereka akan lakukan apa sahaja untuk
menang dan pemain JDT tidak boleh leka sebaliknya menganggap ia perlawanan
[final' kerana jika tidak beri sepenuh tumpuan kemungkinan hilang tiga mata.
"Kehadiran penyokong
yang berada di Lembah Klang bakal beri suntikan semangat dan motivasi setiap
pemain dan tidak salah untuk kita 'membanjirkan' stadium di Cheras kerana kami
mahu sokongan anda," kata Morais.
Ulasan
Catat Ulasan