Morais puas hati persembahan JDT

JOHOR BAHRU 7 Feb. – Ketua jurulatih Johor Darul Ta'zim (JDT), Ulisses Morais berpuas hati selepas kelab itu berjaya mengutip tiga mata penuh setelah menundukkan pendatang baharu Liga Super, PKNP FC 3-0.
Morais terutamanya gembira dengan kesabaran dan kesungguhan anak buahnya yang mengambil masa hingga hampir penghujung separuh masa pertama untuk menjaringkan gol sulung perlawanan.
“JDT terpaksa menunggu masa yang sesuai untuk menjaringkan gol ekoran keampuhan skuad PKNP FC yang hadir dengan organisasi serta semangat baharu berbanding perlawanan pertama mereka sebelum ini.
“Beberapa peluang disia-siakan sebelum itu lagi. Apapun, serangan berterusan daripada pemain akhirnya membuahkan hasil. Saya berpuas hati dengan prestasi dan tiga mata penuh yang berjaya dibawa pulang,” katanya dalam sidang akhkbar selepas tamat perlawanan.
Mengulas mengenai prestasi anggota baharu kelab itu, Adam Nor Azlin yang tampil untuk kali pertama, Morais berkata pemain kebangsaan bawah 23 tahun itu mempamerkan aksi cemerlang biarpun bergandingan bersama pemain yang lebih berpengalaman.
“Menerusi penampilan pertama, dia (Adam) berjaya membuktikan dirinya setaraf dengan pemain senior dan telah memanfaatkan peluang yang diberikan untuk bermain pada malam ini.
“Seperti sebelum ini, apa yang penting adalah kami perlu mengekalkan tahap kecergasan sesetengah pemain. Selepas ini kami bertemu pasukan Kuala Lumpur dan saya percaya mereka juga mempunyai tahap permainan yang bagus sama seperti PKNP FC,” katanya.
Morais berkata, JDT bakal memberi tumpuan untuk meraih tiga mata daripada perlawanban dengan Kuala Lumpur sebelum fokus mereka dialihkan kepada perlawanan Piala AFC pada 14 Februari.
Sementara itu, ketua jurulatih PKNP, Abu Bakar Fadzim menyifatkan pertemuan menentang JDT itu sebagai pengalaman berguna buat anak buahnya.
“Banyak perkara khususnya dari segi penguasaaan bola perlu diperbaiki pemain untuk memastikan PNKP terus mampu memberi saingan dalam kancah Liga Super.

“Kekalahan ini menjadi pengajaran berguna buat semua pemain selain memberi mereka pendedahan beraksi bersama pasukan yang berada dalam kelas yang tersendiri. Mungkin kita terlalu menghormati JDT, apapun saingan tetap diberikan daripada skuad kami,” katanya.- UTUSAN ONLINE

Ulasan