Morais mahu anak buah waspada


Pengendali JDT, Ulisses Morais tetap mengambil pendekatan berhati-hati apabila berdepan skuad kendalian Fabio Maciel yang pasti akan bangkit selepas tumpas dalam dua perlawanan liga baru-baru ini.
Apa pun pengendali dari Portugal itu tetap meletakkan sasaran kemenangan apabila berdepan skuad Warga Kota kerana ia misi utama skuad Harimau Selatan yang beraksi di tempat lawan selepas garang di laman sendiri hasil kemenangan ke atas Kedah 2-1 dan PKNP FC 3-1, baru-baru ini.
“Pertama kali kami akan beraksi di Cheras dan saya optimis keadaan padang di stadium berkenaan dalam keadaan baik kerana saya difahamkan padang di stadium berkenaan baru saja dibaik pulih dan ia penting kerana beri ruang kepada pemain memperagakan taktikal yang dirancang.
“Biarpun kami kesuntukan masa dan hanya mampu melakukan proses pemulihan sahaja selepas aksi menentang PKNP FC namun persiapan tetap berjalan lancar dan semangat pemain tampak begitu tinggi.
“Kami juga menyelidik corak permainan lawan dan saya akan mengarahkan setiap pemain yang bakal diturunkan supaya sentiasa fokus dalam perlawanan itu dan mengekalkan momentum permainan tanpa membuat kesilapan,” katanya.
Morais juga kemungkinan akan menurunkan kesebelasan terbaik pada perlawanan itu dan kelibat Marcos Antonio yang tidak beraksi ketika menentang PKNP FC bakal menguatkan benteng pertahanan JDT.
Beliau berkata, Kuala Lumpur bagaikan pasukan yang terluka dan mereka akan lakukan apa sahaja untuk menang dan pemain JDT tidak boleh leka sebaliknya menganggap ia perlawanan [final’ kerana jika tidak beri sepenuh tumpuan kemungkinan hilang tiga mata.

“Kehadiran penyokong yang berada di Lembah Klang bakal beri suntikan semangat dan motivasi setiap pemain dan tidak salah untuk kita ‘membanjirkan’ stadium di Cheras kerana kami mahu sokongan anda,” kata Morais.

Ulasan