ULISSES Morais sebentar tadi membuat kejutan, apabila
mengumumkan meletak jawatan sebagai pengendali pasukan Johor Darul Ta’zim
(JDT).
Dalam satu kenyataan menerusi akaun rasmi Facebook kelab JDT,
Johor Southern Tigers, beliau menjelaskan faktor kesihatan keluarga menjadi
punca terpaksa meninggalkan skuad Harimau Selatan.
Morais dilantik sebagai ketua jurulatih JDT pada 19 Jun lalu,
bagi menggantikan Benjamin Mora.
"Terima kasih kepada semua kakitangan, pemain dan seluruh
struktur sepanjang sembilan bulan kami menghabiskan bersama dengan begitu
banyak pencapaian dan kejuaraan yang dicapai.
"Kepada pembantu jurulatih setia saya, Rui Rodrigues yang
menemani saya selama ini, terima kasih. Bersama anda, tugas di sini menjadi
lebih mudah.
"Kepada para penyokong, terima kasih diatas sokongan, ambil
berat dan penghormatan yang sentiasa diberikan setiap hari. Perlawanan demi
perlawanan menjadikan kami terbaik di dalam setiap perlawanan," katanya.
Jurulatih kelahiran Portugal itu mengecapi pelbagai kejuaraan
yang membanggakan bersama JDT musim lalu termasuk menjuarai Liga Super buat
kali keempat berturut-turut selain mencipta sejarah baharu kelab apabila
merangkul kejuaraan
Piala Malaysia buat kali pertama.
Sambil mengakui sedih terpaksa meninggalkan JDT, Morais berkata,
beliau akan terus kekal dalam sejarah JDT dan kelab itu akan sentiasa berada di
dalam hatinya.
Malah, beliau turut memuji sikap kepemimpinan yang tinggi
dimiliki Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang menjadi pemacu penting kepada
kejayaan JDT.
"Kepada nadi utama dan jantung utama kelab hebat ini, Tunku
Mahkota Johor (Tunku Ismail), seorang lelaki muda yang tidak dapat dinafikan
bakat, kepintaran dan kepimpinan yang dimiliki serta dilahirkan sebagai juara.
"Saya berkongsi pendapat dengan beliau berjam-jam dalam
satu hari, sama ada di rumahnya atau di kelab di mana beliau selalu melayan
saya dengan penuh penghormatan, pendidikan dan persahabatan, memenuhi semua
keperluan untuk berjaya sehingga saat terakhir saya di sini.
"Baginda
adalah seorang yang berwawasan. Apa yang difikirkan, tidak lama selepas itu ia
akan berlaku. Menerusi rasa hormat yang tinggi terhadap penyokong dan
masyarakat Johor, menjadikan beliau adalah yang terbaik," katanya.
Ulasan
Catat Ulasan