Langkau ke kandungan utama

Mentaliti kuat, aksi pemain JDT membanggakan

JOHOR BAHRU 4 Feb. –Ketua jurulatih Johor Darul Ta'zim (JDT), Ulisses Morais memuji persembahan anak buahnya selepas kejayaan menjulang Piala Sultan Ahmad Shah dengan menundukkan Kedah 2-1 dalam perlawanan sumbangsih, malam tadi.
Menurutnya, skuad Harimau Selatan menunjukkan persembahan yang baik bukan sahaja dari segi corak permainan, malah mentaliti untuk bangkit selepas ketinggalan 0-1 pada minit ke-15.
"Kami mengawal permainan sejak minit pertama, namun Kedah berjaya menjaringkan gol pembukaan dan saya tidak mahu menyalahkan sesiapa kerana bola sepak adalah usaha berpasukan.
"Walaupun setelah ketinggalan 0-1, pemain tetap memberikan fokus dan semangat juang yang tinggi sepanjang permainan untuk bangkit mencipta kemenangan," katanya dalam sidang akhbar di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin di sini selepas tamat perlawanan tersebut.
Gol JDT diperoleh menerusi tandukan Luciano Figueroa dan Marcos Antonio, manakala gol tunggal Kedah oleh Pablo Pallares.
Morais mengakui kejayaan pasukannya membuka tirai Liga Super musim ini dengan merangkul piala pertama pasukan akan dijadikan pembakar semangat bagi Harimau Selatan sepanjang musim ini.
Sementara itu, Ketua Jurulatih Kedah, Ramon Marcote akur dengan keputusan semalam dan mengakui JDT adalah pasukan yang lebih baik dalam perlawanan tersebut.
"Kami telah melakukan yang terbaik dengan mendapatkan jaringan pendahuluan, tetapi tidak boleh dinafikan bahawa JDT telah melakukan tugas dengan baik," katanya.
Kemenangan ini menyaksikan JDT muncul pendahulu Liga Super dengan mengutip tiga mata, berkongsi kedudukan dengan PKNP FC dan Melaka United.


PEMAIN JDT, Jorge Rolando Pereyra Diaz menanduk bola sambil dicabar beberapa pemain Kedah dalam perlawanan Sumbangsih merebut Piala Sultan Ahmad Shah di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, kelmarin. BERNAMA

Ulasan