Lawan JDT habis-habisan: Jelius

KOTA KINABALU: Walaupun berdepan laluan sukar apabila diundi menentang juara Liga Super empat kali berturut-turut, Johor Darul Ta'zim (JDT) pada pusingan kedua Piala FA, Sabah tidak gentar dan bertekad berjuang habis-habisan mengejutkan pasukan pilihan itu.
Skuad kendalian Jelius Ating diundi bertemu JDT di Stadium Likas pada 2 atau 3 Mac depan.
"Apabila sudah diundi begitu, apa lagi yang kami boleh buat melainkan lawan habis-habisan. Dalam bola sepak apa pun boleh berlaku. Memang kami akui JDT antara pasukan terbaik di Malaysia ketika ini, bukan saja dari segi pemain malah dari segi pengurusan dan kewangan mereka.
"Bagaimanapun, kalau dilihat di luar negara bagi saingan piala, pasukan dari liga bawahan pun boleh singkirkan pasukan liga atasan," kata Jelius ketika dihubungi, hari ini.
Jurulatih berusia 47 tahun itu berkata, istilah gentar atau takut tidak sesuai bagi pasukannya kerana sekiranya mereka berperasaan sedemikian, lebih baik jangan bermain bola sepak.
"Kalau takut bertemu dengan JDT, ini bermakna belum pun bermain anda sudah kalah, ini tidak harus berlaku dalam pasukan ini. Walaupun kami mungkin dianggap 'underdog', ia tidak menjadi tekanan kepada kami sebenarnya, tekanan lebih kepada pasukan pilihan," katanya.
Pasukan yang popular dengan julukan Sabah Rhinos itu sebelum ini terkandas pada suku akhir dua musim berturut-turut iaitu 2016 dan 2017.
Hingga kini, Sabah hanya pernah memenangi Piala FA sekali pada 1995 dan tiga kali bergelar naib juara pada 1993, 1994 dan 1998.
JURULATIH Sabah, Jelius Ating (tengah) menegaskan walaupun berdepan laluan sukar apabila diundi menentang JDT pada pusingan kedua Piala FA, skuadnya tidak gentar dan bertekad berjuang habis-habisan mengejutkan pasukan pilihan itu. - Foto Edmund Samunting

Ulasan