Lantik marsyal elak insiden buruk di stadium

KUALA LUMPUR 1 Feb. – Bagi memastikan aspek keselamatan pada setiap kali perlawanan Liga Malaysia (Liga M), kesemua persa­tuan bola sepak negeri disarankan supaya melantik marsyal dalam kalangan penyokong masing-ma­sing agar insiden seperti rusuhan tidak lagi berulang pada musim ini.
Sehubungan itu, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) meminta supaya persatuan berkenaan mencontohi Kelab Penyokong Johor Darul Ta’zim (JDT) yang telah pun menggunakan kaedah tersebut bagi menangani insiden buruk dan keganasan melibatkan penyokong dengan melantik 300 marsyal pada musim lalu.
Pengerusi Jawatankuasa Ke­selamatan FAM, Datuk Seri Zulkifli Abdullah, memberitahu, pihaknya akan membawa cadangan berhubung pelantikan marsyal di negeri-negeri itu dalam Mesyuarat Exco FAM akan datang.
“Jawatankuasa memandang berat aspek keselamatan kerana kita mahu perlawanan liga berjalan lancar dan penyokong dapat menikmati perlawanan dalam keadaan selesa.
“Tahun lepas insiden atau rusuhan yang berlaku tidak terlalu serius tapi kalau boleh, kita harap tahun ini perkara itu tidak akan berlaku,” katanya dalam sidang media sejurus tamat sesi perbincangan Jawatankuasa Keselamatan FAM di sini, hari ini.
Selain itu, kata Zulkifli, beberapa perancangan lain turut dirangka bersama jawatankuasa dan pihak polis untuk memastikan sasaran itu mampu dicapai.
“Ini termasuk mengadakan bengkel yang membabitkan pegawai keselamatan persatuan, pengurus stadium dan juga ketua polis daerah bagi memberi pe­nerangan tentang perkara tersebut (aspek keselamatan),” tambah beliau.
Menurut Zulkifli, pengurusan stadium juga disaran meletakkan nombor di setiap tempat duduk penyokong bagi memudahkan pengawal keselamatan memastikan supaya jumlah penyokong tidak me­lebihi kapasiti stadium.
“Kebanyakan tempat duduk di stadium tiada nombor, ini menyebabkan jumlah kedatangan penyokong melebihi jumlah kapasiti stadium tersebut dan menyebabkan kesukaran pegawai keselamatan mengawal keadaan itu.
“Jika terdapat nombor di setiap tempat duduk maka sudah pasti ia akan memudahkan lagi tugas kami,” ujarnya.
ZULKIFLI ABDULLAH (kiri) dan Setiausaha Agung FAM, Datuk Hamidin Mohd. Amin dalam sidang akhbar di Wisma FAM di Kelana Jaya, semalam.

Ulasan