KL bina rentak selepas tumbangkan JDT



PEMAIN Kuala Lumpur, Paulo Josue Sturmer Dos Reis (kanan) diasak pemain JDT, Adam Nor Azlin (tengah) pada aksi Liga Super menentang JDT di Stadium Cheras. - Foto Eizairi Shamsudin

KUALA LUMPUR: Selepas menang mengatasi juara Liga Super, Johor Darul Ta'zim (JDT), pemain Kuala Lumpur (KL) kembali dari cuti pendek dengan keazaman mahu terus mencipta kejayaan hasil kejutan minggu lalu.
Skuad warga kota memulakan saingan Liga Super dengan kekalahan 2-0 berturut-turut di tangan Selangor dan Negeri Sembilan dan hanya segelintir menjangkakan mereka akan meraih mata berdepan JDT.
Bagaimanapun mereka menang 1-0 dalam saingan dua hari selepas perlawanan diganggu cuaca buruk di Stadium Bola Sepak Cheras hasil jaringan Paulo Josue yang menjaringkan gol pertama musim ini.
Pemain tengah Brazil itu berkata, skuad KL menggunakan keyakinan diraih selepas menewaskan JDT bagi mencari kemenangan bagi perlawanan seterusnya berdepan PKNP FC di Batu Kawan pada 25 Februari nanti.
"Ia sesuatu yang bagus menjaringkan gol ketika berdepan JDT di laman sendiri kerana mereka adalah juara bertahan. Saya dapat peluang dan menjaringkan gol," kata Josue yang kini menjaringkan tujuh gol buat KL.
"Kami banyak mencipta peluang dan jika kami terus melakukannya, saya rasa kami boleh mencipta sesuatu yang bagus dalam kejohanan ini."
KL yang juga juara Liga Perdana 2017 kembali berlatih Rabu lalu selepas diberikan cuti dua hari oleh jurulatih Fabio Maciel yang kemudiannya terus membawa pemain melalui dua sesi latihan sehari.
"Mereka ada rehat yang bagus dan kini adalah masa untuk kembali bekerja keras dan bersedia bagi menghadapi perlawanan seterusnya," kata Maciel.
"Kami berada di landasan terbaik. Selepas tewas dua perlawanan, kami terus melakukan perkara sama. Saya tidak mengubah karektor pasukan kerana saya tahu kami berada di laluan yang betul.
"Kami tidak berhak tewas dua perlawanan awal dan keputusan tidak menunjukkan apa yang sebenarnya berlaku."

Ulasan