‘PENYINGKIRAN’ Jorge Pereyra Diaz daripada skuad Johor Darul Ta'zim (JDT) seharusnya dianggap sebagai rahmat buat pasukan penuh bintang itu.
Jelas bekas pemain tengah Johor, Rizal Sukiman, ‘kehilangan’ penggempur Argentina itu sudah pasti akan memberi lebih peluang kepada pemain tempatan untuk menyerlah selepas ini terutamanya kepada pemain di posisi serangan seperti Ahmad Hazwan Bakri dan juga Safawi Rasid.
Dalam masa sama, bekas pemain kebangsaan itu juga percaya betapa ketiadaan Diaz tidak akan menggugat keupayaan skuad Harimau Selatan itu untuk terus mendominasi saingan domestik musim ini.
“Kita perlu melihat perkara ini secara positif. Tidak dinafikan Diaz sememangnya penyerang yang bagus tetapi JDT juga mempunyai pemain tempatan yang saya kira mampu untuk mengisi kekosongan itu.
“Jika pemain tempatan itu tidak berada dalam kelas yang terbaik sudah pasti mereka tidak akan berada di JDT. Malah dengan kekuatan skuad sedia ada, saya optimis JDT tetap kuat meskipun tanpa Diaz.
“Apapun, terpulang kepada jurulatih cuma saya mengharapkan jurulatih dapat meletakkan kepercayaan kepada pemain tempatan untuk membarisi kesebelasan utama JDT selepas ini.
“Dengan kekosongan di bahagian serangan, mungkin inilah masa yang tepat untuk pemain tempatan membuktikan bahawa mereka setanding dengan Diaz,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Semalam, selepas kehilangan ketua jurulatih Ulisses Morais, kelmarin, juara Liga Super empat kali itu sekali lagi menerima tamparan hebat apabila penjaring terbanyak Liga Super 2016 itu pula meninggalkan kelab.
Pengarah Teknikal JDT, Alistair Edwards menerusi kenyataan di laman Facebook rasmi kelab, JOHOR Southern Tigers, mengesahkan pemain itu menghilangkan diri sebelum mereka berlepas ke Vietnam untuk aksi Piala AFC berdepan Song Lam Nghe An FC, petang ini.
Bagaimanapun, Edwards tidak memaklumkan mengenai punca sebenar bekas penyerang Independiente itu bertindak meninggalkan kelab.
Ulasan
Catat Ulasan