Kedah optimis kalahkan JDT

ALOR SETAR 2 Feb. - Walaupun tanpa penampilan pemain import kelima bagi kuota ASEAN, Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) yakin skuad Lang Merah mampu mempertahankan gelaran Sumbangsih 2018 apabila menentang Johor Darul ta’zim (JDT) di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin esok.
Timbalan Presiden KFA, Datuk Badrol Hisham Hashim berkata, dengan prestasi semasa skuad Hijau Kuning itu, beliau yakin paduan pemain tempatan dan pemain import sedia ada mampu memberikan tekanan kepada juara piala Malaysia dan Liga Super itu di gelanggang lawan.
“Kita ingin memberi peluang kepada pemain tempatan menunjukkan kebolehan dan aksi terbaik untuk bermain dengan pemain import untuk membawa Lang Merah menjulang kejuaraan.
“Kita tengok macam mana prestasi pemain tempatan dalam perlawanan pertama ini. Kalau pemain tempatan pun setaraf dengan pemain ASEAN, kita boleh beri peluang kepada mereka bantu pasukan Kedah,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Dalam pada itu, Badrol Hisham berkata, beliau menaruh kepercayaan tinggi terhadap pengendali Kedah, Ramon Marcote bagi mencatur permainan dengan tepat walaupun tanpa pemain import kelima untuk memburu kemenangan dalam aksi pembukaan Liga Malaysia musim ini.
“Saya yakin beliau (Marcote) mampu membentuk sebuah pasukan yang mantap untuk memberi tentangan kepada JDT.
“Skuad Lang Merah mempunyai empat pemain import termasuk dua pemain baharu bagi memperkukuhkan jentera pasukan,” katanya.

Empat pemain import kedah ialah Liridon Krasniqi dari Kosovo, Sandro Da Silva (Brazil) serta dua muka baharu, Pablo Pallares (Sepanyol) dan Alvaro Silva (pemain pasukan kebangsaan Filipina). - UTUSAN ONLINE

Ulasan