Kedah buru gol awal

SKUAD Kedah tidak gentar dengan status gergasi Asia milik kelab Johor Darul Ta’zim (JDT) sebaliknya bakal memberi fokus kepada persembahan sebagai sebuah pasukan dalam usaha mengekalkan kejuaraan Piala Sumbangsih pada musim ini.
Pengendalinya, Ramon Marcote meramalkan perlawanan yang berlangsung di stadium keramat skuad Harimau Selatan, Stadium Tan Sri Dato’ Haji Hassan Yunos, Larkin itu bakal menjadi medan pertempuran sengit bagi kedua-dua pasukan.
“Pertarungan esok (malam ini) akan menjadi sengit kerana Kedah bakal berdepan dengan kelab berpengaruh dan antara terbaik di Asia. Apa pun, kita akan cuba yang terbaik untuk menang.
“Saya tidak terlalu bimbang berdepan JDT. Apa yang penting kami perlu fokus sebagai sebuah pasukan seiring dengan falsafah Kedah yang mahu menampilkan aksi terbaik,” katanya.
Mengulas mengenai persediaan pasukan, Marcote memberitahu, dia berpuas hati dengan usaha dan komited yang ditampilkan oleh para pemain dalam usaha mengekalkan kejuaraan pada musim ini.
“Setakat ini, saya berpuas hati apabila kesemua pemain termasuk pemain import menunjukkan semangat dan kesungguhan dalam latihan.
“Kesemua pemain juga menunjukkan peningkatan dari segi taktikal menerusi latihan yang telah dijalankan dan saya yakin mereka akan memberi persembahan terbaik nanti,” katanya.
Dalam pada itu, kapten skuad Helang Merah, Baddrol Bakhtiar berkata, para pemain akan cuba mendapatkan gol pendahuluan dan cuba bertahan sebaik mungkin supaya gawang tidak dibolosi.
“Kami akan bermain sebaik mungkin mengikut arahan dan saya mengharapkan keputusan positif memihak Kedah, sekali gus membawa pulang trofi kejuaraan.

“Walaupun pernah beraksi di sini tahun lepas, perasaan gementar itu tetap ada. Apa pun status sebagai pasukan underdog sedikit mengurangkan tekanan untuk kami beraksi esok (hari ini),” katanya.
MARCOTE (depan) ketika mengendalikan sesi latihan Kedah di Skudai semalam menjelang Piala Sumbangsih menentang JDT di Larkin malam ini.

Ulasan