Permukaan padang yang tidak
rata dikatakan menjadi punca kekalahan 0-2 pasukan JDT kepada kelab dari
Vietnam, Song Lam Nghe An.
KUALA LUMPUR - Pengendali
sementara Johor Darul Ta'zim (JDT), Raul Longhi berkata, kekalahan 0-2 pasukan
itu kepada kelab dari Vietnam, Song Lam Nghe An dalam perlawanan
Kumpulan H Piala Kelab Bola Sepak Asia (AFC) di Stadium Vinh,
Vietnam semalam adalah kerana keadaan padang yang tidak memuaskan.
Longhi mendakwa keadaan padang yang sedemikian menyukarkan lagi
mereka bermain menggunakan hantaran pendek.
Bekas pemain antarabangsa Argentina itu, bagaimanapun memuji
persembahan anak buahnya pada babak kedua dan yakin mereka akan beraksi dengan
lebih baik apabila berhadapan dengan lawan yang sama dalam satu lagi
perlawanan di Stadium Larkin pada 24 April depan.
"Dalam babak pertama, kami menghadapi masalah di bahagian
tengah. Keadaan padang tidak terlalu bagus untuk kami. Kami cuba bermain
hantaran pendek tetapi keadaan padang menyukarkan kami. Jika kami
menggunakan hantaran jauh, ia akan memudahkan lawan," Longhi berkata
demikian dalam catatan terkini di laman Facebook JDT: Johor Southern Tigers.
Kekalahan itu menyaksikan Song Lam Nghe An mengambil alih
kedudukan teratas Kumpulan H daripada JDT dengan enam mata sementara JDT jatuh
ke tempat kedua dengan tiga mata selepas dua perlawanan.
Dalam perlawanan semalam, kelab dari Vietnam itu mendahului
melalui jaringan Phan Van Duc pada minit ke-22 sebelum Pham Xuan Manh
menjaringkan gol kemenangan pasukannya dalam masa-masa kecederaan.
JDT akan berhadapan juara lima kali LIga Singapura, Tampines
Rovers di Stadium Jalan Besar, Singapura sementara Song Lam Nghe An akan
menentang Persija Jakarta dari Indonesia di Stadium Vinh dalam perlawanan
ketiga Kumpulan H dan kedua-dua perlawanan dijadual berlangsung pada 6 Mac ini.
- Bernama
Ulasan
Catat Ulasan