Johor Bahru: Johor Darul Ta'zim (JDT) tidak boleh memandang
remeh kemampuan Perbadanan Kemajuan Negeri Perak FC (PKNP FC) sebaliknya
beraksi lebih agresif apabila melayan kunjungan mereka pada aksi Liga Super di
Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, malam esok.
Selepas meraih kemenangan pertama dalam saingan liga dan
merampas Piala Sumbangsih dengan menewaskan Kedah 2-1, Sabtu lalu, kini skuad
Harimau Selatan berdepan tugas getir melayan kunjungan pendatang baru dalam
kancah liga elit domestik musim ini.
Pemain tengah, Hariss Harun tidak menganggap ia perlawanan mudah
apabila berdepan skuad kendalian Abu Bakar Fadzim yang rata-rata dibarisi
pemain muda dan mampu beri ancaman kepada JDT.
"Selepas menang dalam perlawanan pertama, kami perlu berada
di tahap kecergasan terbaik tatkala hanya tiga hari untuk memulihkan tenaga dan
ia berjalan lancar kerana kami meneruskan latihan seperti biasa untuk berdepan
PKNP FC.
"PKNP FC menang pada aksi pertama selepas menewaskan Negeri
Sembilan 1-0 dan sudah tentu mereka berada kini bersemangat tinggi dan saya
jangkakan ia perlawanan sukar memandangkan kami tidak tahu cara permainan
mereka yang pertama kali beraksi di Liga Super.
"Apa pun, beraksi di laman sendiri sudah tentu memberikan
kelebihan dan kami mahukan kemenangan kedua namun perlu berwaspada dengan corak
permainan pantas PKNP FC yang tampil agresif untuk menidakkan kami memburu
kemenangan," katanya.
Hariss berkata, momentum positif harus diteruskan bagi
mengimbangi jadual liga yang panjang selain perlu tenang apabila menentang
pasukan lawan yang ingin menewaskan JDT.
Menurutnya, kesemua pemain JDT tahu tanggungjawab dalam pasukan
dan ia akan memudahkan tugas ketua jurulatih, Ulisses Morais merencana strategi
ampuh sepanjang musim ini.
"Kami mengambil pendekatan mengharungi satu perlawanan
setiap masa kerana ia lebih efektif dan mampu membentuk persefahaman mantap.
Kami juga bersedia untuk berdepan PKNP FC dan tidak boleh terlalu yakin,
sebaliknya beraksi tanpa tekanan," katanya.
Ulasan
Catat Ulasan