JOHOR BAHRU 6 Feb. - Johor Darul Ta'zim (JDT) mengutip tiga mata penuh di laman sendiri selepas menundukkan PKNP FC 3-0 dalam aksi saingan Liga Super di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin malam tadi.
Skuad Harimau Selatan lebih banyak menguasai separuh masa pertama, namun beberapa percubaan mereka berjaya dipatahkan pasukan pelawat yang menampilkan corak bertahan.
Percubaan kapten JDT, Safiq Rahim dan Jorge Pereyra Diaz di luar kotak penalti pada minit ke 15 dan 22 sekadar melepasi palang gol manakala percubaan Ahmad Hazwan Bakri dan La Vere Lawrence Corbin Ong pada minit ke 20 dan 23 berjaya ditangkap kemas penjaga gol Muhd. Syazani Mat Puat.
Ahmad Hazwan sekali lagi hampir memanfaatkan situasi kelam kabut di hadapan gol PKNP FC, namun tendangannya pada minit ke-22 turut sekadar melepasi palang gol
Usaha keras anak buah Ulisses Morais akhirnya membuahkan hasil setelah memperoleh gol sulung perlawanan menerusi Diaz yang dibantu Luciano Gabriel Figueroa selepas Safiq menyempurnakan sepakan percuma pada minit ke-43.
Usaha keras anak buah Ulisses Morais akhirnya membuahkan hasil setelah memperoleh gol sulung perlawanan menerusi Diaz yang dibantu Luciano Gabriel Figueroa selepas Safiq menyempurnakan sepakan percuma pada minit ke-43.
Masuk separuh masuk kedua, pasukan tuan rumah terus menggandakan asakan dan berjaya memperoleh gol kedua pasukan apabila tandukan Mohd. Fadhli Mohd. Shas yang menerima sepakan sudut oleh Safiq terus menerjah ke dalam gawang pada minit ke-57.
PKNP FC hampir memperoleh peluang pada minit ke-67 selepas Sokpheng Keo berjaya membolosi kubu pertahanan tuan rumah, namun percubaan lemahnya gagal membuahkan sebarang hasil.
Pemain tengah JDT, Ignacio Insa memanfaatkan masa tambahan berbaki tiga minit apabila tendangan kencangnya dari dalam kota penalti selepas menerima hantaran Corbin Ong terus menerjah ke gawang gol pada minit ke-91.
Keputusan 3-0 kekal hingga ke tamat perlawanan. - UTUSAN ONLINE
Ulasan
Catat Ulasan