JDT tak akan hukum Izham

JOHOR BAHRU: Pengendali Johor Darul Ta'zim (JDT), Ulisses Morais tidak akan menghukum penjaga gol, Izham Tarmizi Roslan selepas kesilapannya membuatkan skuad Harimau Selatan hampir berputih mata pada aksi Piala Sumbangsih, malam tadi.
Morais menegaskan, dalam perlawanan bola sepak setiap pemain pasti gugup terutama pada aksi sulung, namun Izham sedar mengenai kesilapan yang dilakukan dan kembali bangkit memperagakan ketangkasannya sepanjang perlawanan itu.
"Saya tidak menyalahkan Izham kerana kita memberi ruang kepada Kedah menjaringkan gol dan kesilapan itu datang daripada semua pemain, tetapi mereka sedar betapa pentingnya kemenangan di laman sendiri apabila bangkit selepas jaringan lawan itu.
"Memang benar, saya tidak suka apabila berlakunya kesilapan, namun kesilapan dalam satu perlawanan bola sepak adalah perkara biasa.
"Apa yang mustahak, pemain berjaya mengubah keputusan perlawanan dan memenangi perlawanan tersebut sekali gus menjulang trofi pertama musim ini dan mengutip tiga mata," katanya.
Dalam aksi di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin itu, tindakan Izham Tarmizi pada minit ke-15 yang gagal mengeluarkan bola dari kawasan bahaya memudahkan tugas Pablo Pallares mencipta jaringan buat Kedah selepas menerima umpanan Sandro Da Silva.
Namun, skuad Harimau Selatan bangkit mencipta kemenangan 2-1 hasil jaringan Luciano Figueroa pada minit ke-28 dan Marcos Antonio (m-58) untuk memastikan skuad Harimau Selatan kembali merampas Piala Sumbangsih.
Morais menegaskan ketika babak pertama, barisannya beraksi dengan semangat tinggi dan menguasai keseluruhan perlawanan sehingga skuad kendalian Ramon Marcote tidak mempunyai sebarang peluang.
Katanya, kelibat Antonio yang kembali beraksi selepas pulih daripada kecederaan juga tampak konsisten apabila berjaya menyekat gerakan berbahaya skuad Helang Merah, namun faktor keletihan memaksa dia dikeluarkan pada penghujung babak kedua.
"Marcos tampak keletihan dan barisan kejurulatihan mengambil keputusan mengeluarkannya kerana risau mengenai keadaannya yang baru pulih. Anda tahu sepanjang pasukan bercuti sebelum liga bermula, dia bekerja keras menjalani proses pemulihan dan hasilnya begitu positif," katanya.
PASUKAN JDT meraikan kejayaan ungguli Piala Sumbangsih 2018 selepas menewaskan Kedah 2-1 di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, malam tadi. - Foto BERNAMA




Ulasan