JURULATIH Johor Darul Ta’zim (JDT), Ulisses Morais mengejutkan kelab bola sepak mewah itu apabila mengumumkan meletak jawatan serta-merta semalam.
Morais, 58, melepaskan jawatan penting itu selepas hampir setahun menerajui skuad Harimau Selatan ekoran terpaksa akur dengan masalah kesihatan keluarganya.
“Hari ini adalah hari yang sangat menyedihkan buat saya, tugasan saya berakhir di kelab terhebat ini.
“Segala hal dalam kehidupan perlu ada keutamaan. Atas sebab-sebab kesihatan keluarga, saya terpaksa meninggalkan anda dan kelab ini,” katanya dalam satu kenyataan di laman Facebook rasmi Johor Southern Tigers semalam.
Jurulatih kelahiran Portugal itu menzahirkan ucapan terima kasih kepada nadi utama dan ‘jantung’ JDT, Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim.
“Tunku merupakan seorang lelaki muda yang tidak dapat dinafikan bakat, kepintaran dan kepimpinan yang dimiliki. Dilahirkan sebagai juara,” katanya.
Morais mula memimpin JDT pada 19 Jun 2017 menggantikan pengendali JDT sebelum ini, Benjamin Mora, 39, yang kembali melatih pasukan JDT II.
Sepanjang sembilan bulan menerajui JDT, banyak kejayaan telah dirangkul Harimau Selatan hasil sentuhan kejurulatihan Morais.
Antaranya menjuarai Liga Super 2017, Piala Malaysia serta Piala Sumbangsih.
Ulasan
Catat Ulasan