WALAUPUN menang selesa 3-0 menewaskan Melaka United (MU),
pengendali Johor Darul Ta’zim (JDT)Ulisses Morais tidak menafikan tindakan
pemainnya memperlahankan tempo perlawanan menjejaskan peluang untuk menambah
jaringan.
Bagaimanapun, pengendali kelahiran Portugal itu tidak cepat
melatah selepas anak didiknya gagal menambah jaringan apabila tetap berpuas
hati dengan penguasaan Harimau Selatan yang menyaksikan pemain MU hilang punca
bagi sebahagian besar permainan.
“Apa yang anda katakan adalah benar. Pemain beraksi dengan baik
pada babak pertama dan sering beri tekanan buat pertahanan MU selain
menjaringkan gol.
“Tapi pada babak kedua, mereka memperlahankan tempo permainan
kerana sudah selesa dengan 3-0. Pemain saya juga menanti reaksi lawan tapi
mereka seolah-olah tidak melawan yang sekali gus memudahkan kami menguasai
perlawanan.
“Selain itu, pemain memilih untuk memperlahankan tempo kerana
kami akan berdepan aksi Piala AFC, menentang kelab Vietnam, Rabu ini,” katanya.
Morais juga menegaskan pada perlawanan itu, beberapa pertukaran
dilakukan apabila mengeluarkan kapten Safiq Rahim yang dikenakan kad kuning
manakala Azrif Nasrulhaq Badrul Hisham dan Gonzalo Cabrera mengalami
kecederaan.
Nalah, beliau memuji gandingan Marcos Antonio dan Fadhli Shas
yang membentuk benteng ampuh apabila menyukarkan bahagian serangan skuad
kendalian Eduardo Almeida menembusi pertahanan JDT.
Sementara itu, pengendali MU, Eduardo Almeida menyifatkan
kekalahan mereka berpunca daripada kegagalan barisan serangan melakukan
penyudah tepat.
“Beza antara kami dan JDT adalah lawan mengambil peluang
menjaringkan gol manakala kami juga ada peluang tapi tidak memanfaatkannya.
“Kami
sudah beri yang terbaik namun gagal jaringkan gol. Itu sahaja yang memisahkan
antara kami dan JDT,” katanya.
Ulasan
Catat Ulasan