JDT rebah di Vietnam

Skuad Harimau Selatan tewas 0-2 kepada Song Lam Nghe An


PEMAIN JDT, Natso Insa (dua dari kiri) cuba melepasi kawalan pemain Song Lam Nghe An FC pada aksi Piala AFC di Stadium Vinh,Vietnam semalam.

KETIADAAN jurulatih, Ulis­­ses Morais seakan-akan memberi impak kepada Johor Darul Ta’zim (JDT) selepas kelab gergasi Liga Malaysia (Liga M) itu tewas 0-2 kepada Song Lam Nghe An FC pada aksi Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) di Stadium Vinh, petang semalam.

Skuad Harimau Selatan kehilangan pengendali utama, Morais apabila jurulatih kelahiran Portugal itu meletakkan jawatannya Ahad lalu atas faktor kesihatan ahli keluarga.

Dalam aksi itu, gawang skuad negara dibolosi pada minit ke-22 menerusi jaringan pemain kelab dari Vietnam, Phan Van Duc.

JDT kembali mempamerkan persembahan agresif dalam usaha mencari gol penyamaan tetapi Pham Xuan Manh menamatkan perlawanan itu dengan menja­ringkan gol kedua pasukan tuan rumah pada masa kecederaan separuh masa kedua.

Keputusan itu menyaksikan bekas juara Liga Vietnam 2011 tersebut muncul sebagai pendahulu Kumpulan H dengan kele­bihan enam mata selepas dua perlawanan.

Selain Morais, ketiadaan penyerang berbisa, Jorge Pereyra Diaz juga dilihat menjadi antara salah satu faktor kekalahan juara empat kali berturut-turut Liga Super tersebut.

Diaz, 27, dilaporkan meninggalkan pasukan itu ketika berada di hotel penginapan pasukan di Singapura pada pukul 12 te­ngah malam Ahad lalu.

Pengarah Teknikal Kelab Bola Sepak JDT, Alistair Edwards berkata, Diaz meninggalkan kelab tersebut ketika pemain itu bersama pasukan sebelum berlepas ke Vietnam untuk perlawanan Piala AFC.

Raul Longhi dilantik sebagai ketua jurulatih sementara JDT selepas Morais yang membim­bing skuad Harimau Selatan pada Jun tahun lalu bertindak melepaskan jawatannya.

JDT bakal menentang Sabah untuk saingan Piala FA, Sabtu ini.

Ulasan