JDT rasa perih kekalahan pertama



PEMAIN JDT, Jorge Pereyra Diaz (tengah) dikawal rapi oleh pemain-pemain Kuala Lumpur dalam aksi tertunda di Stadium Kuala Lumpur, Cheras semalam.


PEMAIN JDT, Jorge Pereyra Diaz (tengah) diasak pemain Kuala Lumpur, Mohamed Hisyamudin (kanan) dan Indra Putra Mahayuddin ketika perlawanan Liga Super 2018 di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras semalam



JOHOR Darul Ta’zim (JDT) terpaksa akur dengan kekalahan pertama pada saingan Liga Super musim ini setelah tewas 0-1 kepada Kuala Lumpur dalam aksi tertunda selama 34 minit di Stadium Kuala Lumpur, Cheras petang semalam.
Terdahulu, aksi ketiga Liga Super itu terpaksa ditunda ekoran hujan lebat menyebabkan permukaan padang ditakungi air dan dikhuatiri mampu mendatangkan kecederaan kepada pemain jika perlawanan diteruskan.
Pegawai pertandingan, Zahrul Nizam Mohd. Salleh mengesahkan Kuala Lumpur mendahului 1-0 dalam aksi tersebut menerusi jaringan Paulo Josue pada masa kecederaan separuh masa pertama, manakala perlawanan tertunda bersambung bermula minit ke-56 di stadium sama pukul 4 petang.
Pada perlawanan sambungan itu, JDT secara keseluruhannya menguasai perlawanan tersebut, bahkan skuad Harimau Selatan tersebut melancarkan serangan bertali arus untuk mendapatkan gol.
JDT hampir berjaya memperoleh gol penyamaan menerusi tandukan Figuero (m-58) dan rembatan kencang Haris Harun pada minit ke-60, namun ia berjaya dihalang oleh kecekapan penjaga gol Kuala Lumpur, Kamarul Affendi.
Ketua jurulatih JDT, Ulisses Morais me­ngakui segala usaha yang dilakukan barisan pemainnya berjaya disekat oleh kekebalan benteng pertahanan skuad Warga Kota.
“Walaupun kami berjaya menguasai kedua-dua perlawanan serta dapat mela­kukan percubaan menarik, namun kami gagal menghasilkan sebarang gol di tempat lawan.
“Pada aksi tertunda, Kuala Lumpur bertambah yakin dan mereka memberi tumpuan di benteng pertahanan dalam usaha mengekalkan kelebihan satu gol, sekali gus meraih kemenangan ke atas JDT,” ujarnya.
Sementara itu, jurulatih Kuala Lumpur, Fabio Silva memuji barisan pertahanan skuad kendaliannya walaupun JDT me­nguasai perlawanan, skuad Warga Kota berjaya mempertahankan tiga mata berharga di laman sendiri.
“Bagi perlawanan kedua, kami menukar taktikal dan memberi tumpuan kepada bahagian pertahanan berbanding perlawanan semalam (malam kelmarin).
“Pujian juga harus diberikan kepada Kamarul kerana berjaya menyelamatkan beberapa percubaan dan melakukan tangkapan kemas untuk menyelamatkan gawang meskipun dia dilayangkan kad kuning kerana cuba melengah-lengahkan permainan,” ujarnya.
Perlawanan tersebut merupakan kekalahan pertama JDT tahun ini selepas kali terakhir tewas kepada Felda United 2-3 pada 28 September tahun lalu dalam Liga Super.

Ulasan