JOHOR BAHRU: Johor Darul Ta'zim (JDT) melonjak ke tangga teratas
liga selepas mudah meratah Melaka United (MU) 3-0 pada aksi Liga Super di
Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, sebentar tadi.
Bagaimanapun, kedudukan JDT mungkin seketika tatkala pertembungan
PKNS FC yang melayani kunjungan Kedah di Stadium Shah Alam, malam esok bakal
mengubah posisi liga seandai skuad kendalian Datuk K Rajagobal mampu
menjinakkkan anak didik Ramon Marcote.
Seawal minit kelapan, pelawat mencemaskan gawang tuan rumah
apabila kesilapan penjaga gol, Farizal Marlias dan Fadhli Shas memberi peluang
buat Yahor Zubovich mencipta gol selepas menyambar bola namun tersasar daripada
gawang gol.
Menerusi sepakan sudut kapten Safiq Rahim pada minit ke-12
menyaksikan Luciano Figueroa melonjak tinggi di celah barisan pertahanan lawan
untuk menanduk bola menewaskan penjaga gol MU, Zamir Selamat.
Tersentak dengan jaringan itu, anak didik Eduardo Almeida
memperkemaskan serangan dan pada minit ke-16 berpunca sepakan percuma Shahdan
Sulaiman nyaris untuk Jeon Woo-young yang tidak dikawal mencipta gol penyamaan
namun tandukannya sedikit melepasi palang gol.
Tuan rumah terus menambah derita pelawat pada minit ke-21
selepas bola umpanan Figueroa tepat kepada Jorge Pereyra Diaz yang merembat
kencang dari luar kotak penalti memerangkap Zamir untuk memastikan JDT selesa
dengan kedudukan 2-0.
Anak didik Almeida terus dimalukan skuad kendalian Ulisses
Morais selepas Natxo Insa yang tidak dikawal pada minit ke-35 merembat bola
leret tepat ke penjuru kanan menewaskan Zamir.
Skuad Harimau Selatan terus mendominasi perlawanan pada babak
kedua tatkala menyusun gerakan menarik yang mengundang resah di benteng pelawat
malah gandingan Pereyra Diaz dan Figueroa sering memberi tekanan dalam usaha
menambah jaringan.
Insa
hampir mencetak gol kedua peribadi pada minit ke-86 namun bola sepakan lencong
tatkala berada di dalam kotak penalti sempat dikuis Zamir dan kedudukan 3-0
kekal sehingga tamat perlawanan.
Ulasan
Catat Ulasan