Langkau ke kandungan utama

JDT mati akal di Vietnam

Harimau Selatan tiada pemain kreatif seperti Diaz untuk pecah benteng lawan

PEMAIN-pemain Song Lam Nghe An berusaha menghalang asakan pemain JDT di hadapan pintu gol mereka dal

PEMAIN-PEMAIN Song Lam Nghe An berusaha menghalang asakan pemain JDT di hadapan pintu gol mereka dalam perlawanan Piala AFC di Vinh, Vietnam semalam. – AFC

KUALA LUMPUR 28 Feb. - Pemergian pengurus Ulisses Morais dan penyerang Jorge Pereyra Diaz memberi kesan besar kepada persembahan Johor Darul Ta’zim (JDT) apabila skuad Harimau Selatan itu tumpas 0-2 kepada Song Lam Nghe An di Vinh dalam kempen Piala AFC hari ini.
Kekalahan di Stadium Vinh itu meletakkan JDT di anak tangga kedua selepas dua perlawanan dalam Kumpulan H di belakang kelab Vietnam itu yang mengumpul enam mata.
Harimau Selatan, yang menyaksikan ketua jurulatih Ulisses Morais melepaskan jawatan jelas terasa dengan ketiadaan Diaz yang tiba-tiba meninggalkan pasukan sebelum mereka ke Vietnam apabila tiada pemain yang mampu merancang formula untuk menembusi benteng lawan.
Selepas menang selesa 3-0 ke atas Persija Jakarta di laman sendiri, JDT gagal mengulangi kecemerlangan itu apabila beraksi seperti hilang arah terutama di bahagian serangan sepanjang perlawanan walaupun menguasai 63 peratus kawalan bola.
Sebaliknya Song Lam yang hanya menyerang sekali sekala bermain lebih bijak apabila berusaha mencari gol awal selain menggunakan serangan balas pantas untuk menembusi gawang JDT dan beberapa kali hampir menambah jaringan.
Gol pertama pasukan tuan rumah dijaringkan Phan Van Duc pada minit ke-22 sebelum mereka bertahan dengan baik hingga babak pertama berakhir.
JDT yang sibuk mencari gol penyamaan pada babak kedua pantas mengasak namun mendapati sukar untuk menembusi benteng pertahanan Song Lam yang bermain berhempas pulas mempertahankan kelebihan satu gol tersebut.
Ini menyebabkan Song Lam terpaksa bermain agak keras untuk mengekang pergerakan pemain JDT sehingga menyaksikan dua pemain pertahanannya Ho Sy Sam dan Le Van Hung dilayangkan kad kuning dalam usaha membendung asakan bertali arus pasukan pelawat.
JDT bagaimanapun masih gagal mencari jawapan untuk menembusi benteng Song Lam dan kekecewaan itu diterjemahkan oleh layangan kad kuning kepada S. Kunanlan dan Luciano Figueroa pada penghujung permainan.
Ketika JDT semakin tertekan dan terdesak mencari gol, tuan rumah mengambil kesempatan daripada kelekaan pelawat dan menerusi serangan balas pantas pada masa kecederaan membolehkan mereka menggandakan jaringan menerusi Phan Xuan Manh.
Dengan kemenangan itu, Song Lam kini mengungguli Kumpulan H dengan enam mata hasil dua kemenangan berturut-turut manakala JDT menghuni tangga kedua kumpulan dengan tiga mata tetapi masih bergantung kepada keputusan satu lagi aksi antara Persija dan Tampines Rovers.

Ulasan