JDT mampu harungi cuaca dingin di Vietnam


SUHU di Stadium Vinh mencecah bawah 19 darjah selsius. FOTO/AFP

JOHOR BAHRU: Faktor cuaca dingin yang mungkin mencecah bawah 19 darjah selsius sememangnya memberi cabaran buat Johor Darul Ta'zim (JDT) pada pertembungan menentang kelab dari Vietnam, Song Lam Nghe An FC pada aksi Kumpulan H saingan Piala AFC di Stadium Vinh di Wilayah Nghe An, Vietnam, petang esok.
Pemain tengah skuad Harimau Selatan, Hariss Harun berharap keadaan cuaca yang tidak menentu itu tidak menjejas tumpuan dan rentak permainan pasukan itu tatkala mengintai peluang untuk memburu kemenangan kedua dalam saingan kumpulan itu.
Katanya, selain berdepan cuaca sejuk, aksi pertembungan JDT dan Song Lam Nghe An FC amat dinantikan memandangkan JDT mencipta kemenangan pertama menewaskan Persija Jakarta 3-0 manakala kelab dari Vietnam itu menewaskan Tampines Rovers 2-0 dan pastinya aksi itu menjadi tumpuan untuk merebut tangga teratas kumpulan.
"Ia menjanjikan perlawanan menarik kerana masing-masing inginkan kemenangan. Bagaimanapun kami sedar ia menjadi perlawanan sukar buat JDT memandangkan kami tidak tahu keadaan cuaca di sana dan perlu segera menyesuaikan diri secepat mungkin sebelum turun beraksi nanti.
"Apa jua keadaan cuaca yang bakal ditempuhi, kami bersedia untuk menyahut cabaran dan sentiasa fokus dalam perlawanan itu sambil mengelak daripada melakukan kesilapan yang mungkin membolehkan lawan ambil kesempatan.
"Moral saya dan rakan sepasukan begitu tinggi selepas kami menang 3-0 menewaskan Melaka United (MU) pada aksi Liga Super, Sabtu lalu dan ia memberi lebih keyakinan apabila turun beraksi menentang kelab dari Vietnam itu kerana misi utama mencari kemenangan walaupun sedar ia tugas berat," katanya.
Hariss berharap momentum kemenangan itu bakal beri motivasi kepada rakan sepasukan untuk menterjemahkan lagi corak permainan konsisten apabila berdepan kelab dari Vietnam itu yang dibarisi pemain berkualiti.
Tambahnya, walaupun Ulisses Morais mengambil keputusan untuk meletak jawatan selaku ketua jurulatih JDT, senario itu tidak menjejaskan tumpuan setiap pemain yang tampak bersedia memberi sepenuh komitmen pada perlawanan itu.
"Agak terkejut apabila mendapat berita itu tetapi ia lumrah dalam sukan bola sepak yang diwarnai perpindahan pemain mahupun peletakan jawatan jurulatih dan kami sebagai pemain harus bersikap profesional dan meneruskan perjuangan pasukan.
"Bagi pertembungan itu, kami menganalisa corak permainan Song Lam Nghe An FC dan apa yang mereka pamerkan jelas tertumpu kepada corak permainan pantas malah ada saja helah yang mampu menjejaskan konsentrasi dan kita kena berwaspada," kata Hariss.

Ulasan