LUCIANO FIGUEROA (tengah) antara yang menjadi sandaran JDT untuk
menghadapi Persija hari ini.
JOHOR BAHRU 13 Feb. – Johor Darul Ta'zim (JDT)
mahu melupakan kekalahan mengejut di tangan Kuala Lumpur pada aksi Liga Super
kelmarin dan mengalih tumpuan bagi meraih kemenangan dalam perlawanan pertama
kumpulan H menentang kelab Indonesia, Persija bagi saingan Piala AFC 2018.
Kapten JDT, Safiq Rahim berkata, kekalahan
tersebut perlu dijadikan pemangkin untuk Harimau Selatan bangkit semula
daripada kekalahan tersebut dan memperbaiki segala kelemahan menjadi lebih baik
pada perlawanan akan datang.
“Keputusan tersebut sudah menjadi sejarah buat
JDT dan kita perlu perbaiki kelemahan untuk menjadi lebih kuat. Mungkin itu
salah satu pemangkin semangat untuk menjadi lebih baik dan cuba yang terbaik
mengelak mengulangi kelemahan sebelum ini.
“Bagi perlawanan esok, harapan kami tentunya
menginginkan keputusan yang positif. Dalam apa kejohanan disertai, keputusan
perlawanan pertama amat penting buat pasukan tambahan pula bila beraksi di
laman sendiri.
“Begitupun, kita tidak boleh memandang rendah
keupayaan lawan kerana Persija merupakan antara pasukan terkuat di Indonesia.
Apa yang penting kita lakukan tugas dan mengikut taktikal yang diterapkan
jurulatih bagi memastikan tiga mata menjadi milik JDT,” katanya dalam sidang
akhbar di sini hari ini.
Sementara itu, pemain Persija, Rudi Widodo
menuntut rakan sepasukan untuk menampilkan aksi bertenaga bagi membuktikan
kemampuan mereka kembali beraksi di pentas Piala AFC selepas 16 tahun.
Rudi menjangkakan pertembungan sengit esok dan
mengakui JDT pasukan hebat.
"Selepas 16 tahun tidak beraksi di pentas
Piala AFC, inilah saatnya untuk tunjukkan bahawa Persija kelab besar yang sedia
dari segi mental dan fizikal bagi perlawanan esok," katanya.
Ulasan
Catat Ulasan