JOHOR BAHRU: Johor Darul Ta'zim (JDT) melakar kemenangan kedua
berturut-turut selepas menewaskan PKNP FC 3-0 pada aksi Liga Super di Stadium
Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, sebentar tadi.
Pada pertembungan itu, pengendali JDT, Ulisses Morais
menampilkan Adam Nor Azlin bergandingan dengan Fadhli Shas mengemudi benteng
pertahanan sambil menyenaraikan Marcos Antonio, Gonzalo Cabrera dan penjaga
gol, Izham Tarmizi Roslan sebagai pemain simpanan.
Rombakan itu nyata tidak menjejas rentak permainan skuad Harimau
Selatan yang menguasai perlawanan dan hampir mengundang cemas gawang gol
pelawat selepas sepakan percuma kapten Safiq Rahim pada minit ke-15 dari jarak
25 meter hanya melewati palang gol.
Dua minit sebelum rehat gerakan menarik tuan rumah membuahkan
hasil selepas taktik umpanan Safiq melorong bola kepada Natxo Insa yang
bertindak mengumpan kepada Jorge Pereyra Diaz sebelum penyerang dari Argentina
itu merembat kencang menewaskan penjaga gol, Syazani Mat Puat.
Bersambung babak kedua, tuan rumah terus menguasai perlawanan
apabila sering mengasak ke kubu lawan malah gerakan solo Diaz pada minit ke-50
yang bertindak menyusup masuk ke dalam kotak penalti hampir mencemaskan gawang
pelawat.
Tuan rumah menambah derita pelawat pada minit ke-58 selepas
sepakan sudut Safiq tepat kepada Fadhli yang tidak dikawal mudah menanduk bola
masuk menewaskan Syazani.
Kemasukan Cabrera pada minit ke-59 menggantikan Hazwan Bakri
nyata menambah sengat jentera serangan tuan rumah apabila kerap mengasak kubu
lawan yang terpaksa berkampung di kawasan sendiri.
Malah Cabrera hampir mencipta gol pada minit ke-71 hasil bola
rembatan kaki kiri namun hanya melepasi palang selepas menerima bola umpanan
Insa.
Insa melengkapkan
kemenangan bergaya tuan rumah selepas menjaringkan gol pada minit akhir apabila
merembat bola leret menewaskan Syazani hasil umpanan La'Vere Corbin-Ong.PEMAIN JDT, Mohd Fadhli Shah (no 27) meraikan jaringannya ketika bertemu PKNP FC di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, sebentar tadi. - Foto Hairul Anuar Rahim
Ulasan
Catat Ulasan