JDT, Kedah laung keyakinan

JOHOR BAHRU 2 Feb. - Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Kedah masing-masing melaungkan keyakinan dapat menjulang Piala Sultan Ahmad Shah apabila kedua-dua pasukan ‘gergasi’ bola sepak di tanah air itu bertemu dalam aksi Sumbangsih yang juga merupakan pembuka tirai Liga Super musim ini.
Dengan status juara Piala Malaysia 2017, JDT mahu menjadikan ge­langgang sendiri, Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Lar­kin, medan untuk ‘membalas dendam’ ke atas Kedah yang menewaskan pasukan Harimau Selatan itu 4-5 menerusi penentuan sepakan penalti selepas aksi terikat 1-1 dalam perlawanan Sumbangsih musim lalu.
Berikutan itu, JDT berhasrat untuk membuka tirai saingan Liga Super musim ini dengan langkah kanan, iaitu menjulang Piala Sultan Ahmad Shah yang menjadi rebutan dalam perlawanan Sumbangsih menentang Kedah, malam esok.
Pengendali JDT, Ulis­ses Morais berkata, pihaknya yakin dengan persiapan yang dijalankan bagi menghadapi perlawanan di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin itu.
Menurut beliau, Kedah merupakan pasukan yang hebat dan pihaknya menjangkakan perlawanan yang sengit antara kedua-dua pasukan itu.
“Pemain tahu tanggungjawab mereka dan akan memberikan yang terbaik dalam perlawanan esok untuk memenangi perlawanan pembukaan ini,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Sementara itu, Kapten JDT, Safiq Rahim mengakui Kedah merupakan antara pasukan pencabar utama dalam saingan Liga Super namun pihaknya tetap yakin JDT mampu menjulang piala malam esok.
“Kedah merupakan antara pasukan terbaik dalam Malaysia tetapi dalam perlawanan esok, pasukan yang lebih fokus dan bermain dengan baik akan menjulang piala,” ujarnya.
Dalam pada itu, Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA), Datuk Badrol Hisham Hashim berkata, Lang Merah yakin dapat mempertahankan Piala Sultan Ahmad Shah walaupun beraksi di gelanggang JDT iaitu Stadium Tan Sri Dato’ Haji Hassan Yunos.
Katanya, prestasi semasa pemain skuad Hijau Kuning itu yang merupakan gabungan pemain tempatan dan pemain import sedia ada mampu memberikan tekanan kepada juara Piala Malaysia musim lalu itu yang beraksi di gelanggang sendiri.
Badrol Hisham berkata, beliau menaruh kepercayaan tinggi terhadap Ketua Jurulatih Kedah, Ramon Marcote untuk mencatur strategi walaupun tanpa pemain import kelima untuk memburu kemenangan pada perlawanan pembukaan Liga Malaysia musim ini tersebut.
“Saya yakin beliau (Marcote) mampu membentuk sebuah pasu­kan yang mantap untuk menghadapi tentangan JDT.
“Skuad Lang Merah mempunyai empat pemain import termasuk dua pemain baharu bagi memperkukuhkan lagi jentera pasukan,” katanya.
Empat pemain import kedah ialah Liridon Krasniqi dari Kosovo, Sandro Da Silva (Brazil) serta dua muka baharu, Pablo Pallares (Sepanyol) dan Alvaro Silva (pemain pasukan kebangsaan Fi­lipina).
SAFIQ RAHIM (dua dari kanan) bersama Ulisses Morais (kanan) dan kapten Kedah, Baddrol Bakhtiar (dua dari kiri) serta Ramon Marcote memegang Piala Sultan Ahmad Shah dalam sidang akhbar khas menjelang perlawanan Sumbangsih di Johor Bahru, semalam. UTUSAN/RAJA JAAFAR ALI

Ulasan