JDT cemerlang, Selangor malang


PEMAIN Pahang, Mohammad Muslim Ahmad (kiri) berusaha mengawal bola ketika diasak oleh pemain Selangor, Rufino Segovia dalam perlawanan Liga Super di Stadium Kuala Lumpur malam tadi. Pahang menang 3-1. MINGGUAN/NOORADZRENE MOHAMMED NOOR

KUALA LUMPUR 24 Feb. - Johor Darul Ta’zim (JDT) kembali ke landasan kemenangan untuk menguasai puncak liga ketika satu lagi pasukan gergasi Selangor tersungkur di laman sendiri dalam perlawanan Liga Super malam ini.
Selepas tewas mengejut 0-1 kepada Kuala Lumpur minggu lalu, skuad bimbingan Ulisses Morais menjadikan Melaka United mang­sa kebangkitan mereka dengan menang selesa 3-0 di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin.
Kemenangan itu memboleh­kan skuad Harimau Selatan me­ngutip sembilan mata menerusi empat perlawanan, memintas Terengganu FC I di tempat kedua dengan lapan mata.
Dalam perlawanan yang berat sebelah itu, skuad Hang Tuah bagaimanapun bermula garang pada awal permainan namun gagal menyekat kemaraan Harimau Selatan yang mempamerkan corak permainan lebih bertenaga dengan serangan berbahaya ke kubu lawan. 
Hasilnya, tiga pemain import JDT iaitu Luciano Figueroa, Jorge Pereyra Diaz dan Natxo Insa masing-masing meledak satu gol untuk meletakkan pasukan tuan rumah di kedudukan selesa pada babak pertama perlawanan. 
Memasuki babak kedua, JDT yang membuat tiga pertukaran memperoleh beberapa peluang menarik lagi untuk menambah jaringan namun gagal memanfaatkannya dengan baik untuk keputusan kekal hingga ke wisel penamat.
Sementara itu, Francis Forkey Doe meledakkan dua gol pada babak kedua, termasuk satu sepakan penalti kontroversi untuk membantu Pahang menumpaskan Selangor 3-1 di Stadium Kuala Lumpur.
Terdahulu pada babak pertama, Patrick Cruz meletakkan skuad Tok Gajah di depan se­awal minit keenam sebelum Selangor menyamakan kedudukan menerusi sepakan penalti yang disempurnakan Rufino Segovia lima minit sebelum wisel rehat dibunyikan selepas K. Kannan dijatuhkan oleh pertahanan pelawat Muslim Ahmad.
Pahang bagaimanapun hanya memerlukan empat minit selepas permainan bersambung dengan menyaksikan Doe memulakan kenduri golnya sebelum menyem­purnakan penalti kontroversi pada minit ke-70.
Penalti itu diberikan selepas pemain pertahanan Willian Pacheco menampan bola dengan tangan ketika diasak oleh Doe di luar kotak gol, dan pengadil turut memberikan kad kuning kepada pemain dari Brazil itu.
Dengan kekalahan itu, Sela­ngor jatuh ke anak tangga ketujuh liga manakala Pahang melonjak ke tempat ketiga.
Sementara itu Kelantan bangkit daripada ketinggalan dua kali untuk menewaskan Perak 3-2 di hadapan penyokong sendiri di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu.
Pemain dari Kanada, Dong Hyun muncul wira Kelantan apabila melakukan hatrik dalam tempoh 20 minit pada babak kedua untuk menafikan dua kali gol pendahuluan Perak yang dijaringkan Norhakim Hassan dan Wander Luiz.
Ini adalah kemenangan pertama Kelantan selepas empat perlawanan. Kelantan kini dibimbing oleh pemangku jurulatih Yusri Che Lah setelah Sathit Bensoh dipecat selepas mereka sekadar seri sekali dan kalah dua kali dalam perlawanan terdahulu.

Ulasan