JDT buru kemenangan pertama

 Morais miliki ramuan terbaik benam Persija Jakarta di Larkin malam ini


MORAIS (dua dari kanan) bersalaman dengan Steffano pada sidang akhbar sempena saingan Piala AFC 2018 di Johor Bahru semalam. Turut kelihatan kapten JDT, Safiq Rahim (kanan) dan penyerang, Persija Jakarta, Rudi Widodo.

KETUA jurulatih kelab Johor Darul Ta’zim (JDT), Ullisses Morais mempunyai ramuan terbaik untuk berdepan Persija Jakarta dalam saingan Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) 2018 yang disifatkan sebagai satu pasukan kuat di Stadium Tan Sri Dato’ Haji Hassan Yunos, Larkin malam ini.
Morais berkata, perkara tersebut diakui selepas mengkaji perlawanan terdahulu pasukan dari Indonesia itu sebagai persediaan aksi pertama Kumpulan H tersebut.
“Saya sudah mengkaji kekuatan dan kelemahan pasukan Persija. Jadi kita sudah ada ramuan sendiri untuk menggempur kubu pasukan lawan.
“Apa yang pasti kita mahu menang sekali gus tiga mata menjadi hak mutlak kita,” katanya pada sidang akhbar di Hotel Thistle Johor Bahru semalam.
Turut hadir jurulatih Persija Jakarta, Alesandro Steffano Cuggura Rodrigues.
Mengulas mengenai persiapan dan pemain yang akan diturunkan, menurut Morais, beliau akan melihat tahap kece­r­dasan semua pemain terlebih dahulu ketika sesi latihan.
Dalam pada itu, menurutnya, khidmat penyerang, Gonzalo Cabrera tidak akan digunakan pada perlawanan itu berikutan kuota import hanya untuk empat pemain bagi setiap pasukan.
“Selain itu, pemain pertahanan, Marcos Antonia juga berkemungkinan akan direhatkan kerana mengalami kecederaan pada aksi Liga Super menentang Kuala Lumpur Ahad lalu,” ujarnya.
Namun tambahnya, beliau tidak mudah melatah dengan ketiadaan tonggak utama JDT itu kerana pemain lain turut mempunyai kekuatan tersendiri.
“Segala keputusan akan dibuat esok (hari ini), siapa yang akan diturunkan. Kita mempunyai barisan pemain yang mempunyai kekuatan masing-masing,” katanya.
Kumpulan H turut disertai wakil dari Vietnam, Song Lam Nighe dan Tampines Rovers (Singapura).

Ulasan