JDT buktikan Harimau Selatan masih garang


Mudah atasi cabaran wakil Indonesia, Persija Jakarta dengan kemenangan 3-0 di Larkin

SKUAD Johor Darul Ta’zim (JDT) mudah menundukkan wakil dari Indonesia, Persija Jakarta 3-0 pada saingan peringkat Kumpulan H Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) 2018 di Stadium Tan Sri Dato’ Haji Hassan Yunos di Larkin, Johor Bahru malam tadi.
Pada babak awal perlawanan menyaksikan JDT lebih banyak menguasai permainan apabila berjaya melakukan beberapa siri gerakan dan serangan berbahaya menerusi jentera serangannya.
Asakan demi asakan telah membuka beberapa peluang untuk JDT mendahului perlawanan menerusi Luciano Figueroa.
Bagaimanapun, percubaan pemain kelahiran Argentina itu diselamatkan penjaga gol pasukan pelawat, Andritany Ardhiyasa.
Usaha skuad Harimau Selatan dalam memburu gol pendahuluan akhirnya berhasil apabila penyerang JDT, Hazwan Bakri mudah menyempurnakan hantaran daripada pemain pertahanan, Azrif Nasrulhaq sekali gus memastikan pasukan tuan rumah di depan dengan kedudukan 1-0.
Kelekaan barisan pertahanan skuad kendalian jurulatih Brazil, Alessandro Stefano Rodrigues membawa padah apabila penyerang berbisa JDT, Pereyra Diaz mudah menyempurnakan gol kedua bagi memastikan JDT terus selesa di hadapan dengan kedudukan 2-0.
Memasuki aksi babak kedua menyaksikan permainan tidak banyak berubah apabila skuad kendalian Ulisses Morais masih lagi mendominasi keseluruhan perlawanan sekali gus menyebabkan Persija Jakarta terus buntu menembusi pertahanan JDT untuk mendapatkan gol.
Sebaliknya, kesilapan pemain Persija Jakarta, Asri Akbar dan Gunawan Dwi Cahyo hampir memakan diri sendiri apabila sepakan kencang Diaz tersasar
Peluang keemasan pasukan Persija Jakarta hadir pada minit ke-70 menerusi percubaan kaptennya, Bambang Pamungkas yang bijak memanfaatkan kesilapan pertahanan tuan rumah Haris Harun, namun percubaan tersebut hanya singgah ke palang gol.
Percaturan Morais yang memasukkan pemain muda, Safawi Rasid bagi menggantikan Hazwan akhirnya membuahkan hasil apabila pemain kebangsaan bawah 23 tahun itu menghadiahkan gol menerusi rembatan kencang terus ke gawang lawan hasil hantaran cantik Diaz sekali gus memastikan JDT mengutip tiga mata penuh di laman sendiri. Keputusan 3-0 kekal hingga tamat perlawanan.


PARA pemain JDT meraikan jaringan pertama oleh Hazwan ketika membenam cabaran wakil Indonesia, Persija Jakarta dalam aksi Kumpulan H Piala AFC 2018 di Stadium Tan Sri Dato Haji Hassan Yunos di Larkin, Johor Bahru malam tadi.



PENYERANG JDT, Jorge Pereyra Diaz (kanan) dihalang pemain Persija Jakarta, Jaimerson Da Silva Xavier (tengah) sambil penjaga gol Persija Jakarta, Andritany Ardhiyasa mendakap bola.

Ulasan