JDT buka tirai selaku juara Sumbangsih

JOHOR BAHRU 3 Feb. - Johor Darul Ta’zim (JDT) memulakan kempen mempertahankan kejuaraan Liga Super dengan langkah kanan apabila menumpaskan Kedah 2-1 dalam perlawanan Sumbangsih di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin sebentar tadi, sekali gus menjulang Piala Sultan Ahmad Shah.
Walaupun dikejutkan 0-1 oleh jaringan awal Pablo Palares pada minit ke-15, pasukan tuan rumah menunjukkan semangat juang tinggi dan bangkit menerusi jaringan Luciano Figueroa serta Marcos Antonio.
Lebih manis, kemenangan ini membolehkan skuad bimbingan Ulisses Morais itu melunaskan dendam selepas kalah kepada Kedah menerusi penentuan sepakan penalti dalam perlawanan Sumbangsih tahun lalu.
Terdahulu, kesilapan penjaga gol JDT, Izham Tarmizi menghantar bola kepada Da Silva membuka jalan kepada Kedah memperoleh gol pembukaan.
JDT yang terus mengasak kubu pelawat bagaimanapun berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-28 selepas Figueroa menanduk bola melepasi jangkauan Mohd. Ifwat Akmal selepas menerima hantaran Safiq Rahim.
Separuh masa kedua menyaksikan tuan rumah mengekalkan rentak serangan pantas namun Mohd. Ifwat berjaya menafikan beberapa percubaan JDT.
Kerja keras JDT akhirnya membuahkan hasil pada minit ke-58 apabila Antonio berjaya menyempurnakan hantaran kemas Corbin Ong untuk mendapatkan gol kemenangan. - UTUSAN ONLINE
PEMAIN JDT meraikan kejayaan muncul juara Sumbangsih selepas mengalahkan Kedah 2-1 di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin malam ini. - UTUSAN/NUR AISYAH MAZALAN

Ulasan