ANGKARA dua tonggak
meninggalkan skuad Johor Darul Ta’zim (JDT) secara mengejut Ahad lalu telah
menyebabkan juara empat kali Liga Super itu dirundung masalah dalaman.
Kehilangan ketua jurulatih, Ulisses Morais
dan penyerang prolifik dari Argentina, Jorge Pereyra Diaz menambah episod
malang kelab mewah itu apabila tewas 0-2 kepada Song Lam Nghe An FC pada aksi
Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) 2018 di Stadium Vinh, Vietnam kelmarin.
Pengarah Teknikal kelab bola sepak JDT,
Alistair Edwards (gambar)
mengakui JDT menghadapi masalah dengan pasukan dan pihak pengurusan akan
memperbaikinya.
“Walaupun sudah lewat malam, kami tidak
akan pernah berhenti bekerja. JDT akan kembali esok (semalam) dan kami akan
mengadakan satu mesyuarat.
“Kami sudah mengetahui strategi bagaimana
untuk memperbaikinya dan memantapkan pasukan,” katanya menerusi laman Facebook
rasmi kelab itu, Johor
Southern Tigers semalam.
Menurut Edwards, antara strategi bagi
memperbaiki skuad Harimau Selatan ialah pasukan akan melakukan pertukaran
pemain.
“Selepas itu kami akan melakukan pertukaran
yang lebih besar pada Jun, serta satu lagi pertukaran pada Disember,” ujarnya.
Tambahnya, kelab telah menyediakan bajet
dan buat masa sekarang, mereka akan menggunakan pasukan yang ada selain cuba menggunakan
beberapa pemain luar negara yang berada dalam skuad JDT II untuk membantu.
“Itulah yang sedang kami lakukan. Kami
tidak akan berputus asa dan masih yakin dengan misi-misi kami. Kami akan terus
berjuang sepanjang masa,” katanya.
Kosmo! Ahad melaporkan,
Morais mengumumkan meletakkan jawatan mengendalikan kelab itu selepas sembilan
bulan berkhidmat atas faktor kesihatan keluarga.
Selepas itu, penyerang prolifik dari
Argentina, Diaz pula meninggalkan kelab tersebut ketika berada di hotel
penginapan pasukan di Singapura pada tengah malam Ahad lalu.
Ulasan
Catat Ulasan