The City Boys lakar kemenangan sulung, Kedah turut raih tiga mata
PEMAIN JDT, Jorge Pereyra Diaz (tengah) cuba melepasi kawalan pemain
Kuala Lumpur, Mohamed Hisyamudin (kanan) dan penjaga gol, Kamarul Effandi dalam
perlawanan Liga Super di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras semalam.
UTUSAN/ROY AZIS ABD. AZIZ
KUALA LUMPUR 11 Feb. - Selepas bermula baik
dalam dua perlawanan pertama, juara empat musim berturut-turut, Johor Darul
Ta’zim (JDT) kalah mengejut 1-0 kepada pendatang baharu yang tidak pernah
memenangi aksi mereka sebelum ini, Kuala Lumpur dalam saingan Liga Super di
Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, hari ini.
Jika JDT memulakan kempen 2018 dengan dua
kemenangan berturut-turut, Kuala Lumpur pula tewas dua kali, sekali gus tiada
siapa yang meletakkan harapan skuad The City Boys mampu
mengutip tiga mata bertemu gergasi Harimau Selatan.
Begitupun jaringan Paulo Josue pada minit ke-46
malam tadi, iaitu sebelum perlawanan dihentikan pada minit ke-56 akibat hujan
lebat dan disambung semula petang ini, sudah memadai untuk menghukum JDT.
“Memang kami tertekan sebelum perlawanan kerana
tewas dua kali berturut-turut dan berdepan pula pasukan hebat seperti JDT,
namun pemain menunjukkan aksi baik dan berhak menang,” kata pengendali Kuala
Lumpur, Fabio Magrao.
Bagi jurulatih JDT, Ulisses Morais, tiada apa
yang perlu dirisaukan dengan kekalahan itu kerana liga baru bermula dan
pasukannya menunjukkan banyak potensi untuk mempertahankan kejuaraan.
“Kami mencipta banyak peluang untuk menjaringkan
gol hari ini dan semalam, namun disebabkan kami memberi ruang kepada Kuala
Lumpur mereka berjaya memanfaatkannya.
“Saya bukan mahu mencari alasan tetapi saya akui
kesilapan kami sendiri kerana saya fikir jika kami tidak menjaringkan gol,
lawan akan melakukannya. Inilah bola sepak, ada hari bagus dan ada hari tidak
bagus.
“Dalam bola sepak jika mahukan kemenangan, anda
mesti menjaringkan gol. Dan hari ini adalah hari tidak bagus buat kami tetapi
kami bernasib baik hari yang tidak bagus ini hadir pada awal musim, bukannya
datang pada penghujung musim.
“Walau apa sekali pun, perkara seperti ini boleh
terjadi satu tahun sekali sahaja.
“Saya tidak percaya perkara seperti ini boleh
terjadi dua tiga kali dalam setahun apabila ada berpuluh-puluh peluang di
hadapan gol namun satu pun tidak boleh masuk. Ia hanya sekali dalam setahun,”
katanya kepada pemberita selepas perlawanan di sini hari ini.
Sementara itu, jaringan lewat minit Muhammad
Akhyar Abdul Rashid memastikan Kedah kembali ‘bernafas’ selepas mencatat
kemenangan pertama musim ini dengan menumpaskan Perbadanan Kemajuan Negeri
Perak (PKNP) FC 1-0 di Stadium Batu Kawan, Pulau Pinang.
Kedah yang tewas 1-2 kepada JDT dan 1-3 di
tangan Perak dalam dua perlawanan pertama menyaksikan pemain baharu mereka,
Andik Vermansah melakukan hantaran cantik untuk disudahkan Akhyar pada minit
ke-85.
Kemenangan meletakkan anak-anak buah Ramon
Marcote di tangga kelapan liga.
Ulasan
Catat Ulasan