GOMEZ nafi Diaz di
Indonesia.
KUALA LUMPUR: Jurulatih Persib Bandung, Mario Gomez menafikan
penyerang Jorge Pereyra Diaz meninggalkan Johor Darul Ta'zim (JDT) secara
tiba-tiba kerana mahu menyertai kelab Liga 1 Indonesia itu.
Gomez yang juga bekas pengendali JDT mengesahkan setakat ini
mereka tidak berhubung dengan Diaz apatah lagi menawarkan sebarang kontrak
kepada pemain Argentina itu.
"Saya mendapat tahu berita itu (Diaz meninggalkan JDT) tapi
saya tidak tahu apa yang berlaku sebenarnya.
"Saya juga tidak tahu mengenai Jorge (Diaz) mahu menyertai
kelab ini," katanya ketika dihubungi, hari ini.
Kontroversi melanda JDT apabila Pengarah Teknikalnya, Alistair
Edwards dalam kenyataannya menjelaskan, Diaz yang juga penjaring terbanyak Liga
Super musim 2016 didakwa meninggalkan hotel penginapan pasukan pada 12 tengah
malam kelmarin di Singapura sebelum pasukan berlepas ke Vietnam untuk
perlawanan Piala AFC.
Pemilik JDT, Tunku Ismail Sultan Ibrahim kemudian menerusi satu
video menjelaskan kemelut yang melanda JDT termasuk tindakan luar jangkaan Diaz
adalah berpunca daripada jurulatih kecergasan mereka, Fernando.
Spekulasi timbul dengan mengaitkan Diaz bakal bergabung semula
dengan bekas jurulatihnya, Gomez di Indonesia yang kini sedang mempersiapkan
pasukan sebelum saingan musim baru liga bermula bulan ini.
"Apa yang saya tahu Jorge (Diaz) di Argentina, tapi
selebihnya saya tak tahu," kata Gomez yang mengakui sedang mencari seorang
penyerang bagi melengkapkan senarai pemain pasukannya.
Diaz bagaimanapun dilaporkan tidak boleh menyertai pasukan lain
selagi tidak mendapat sijil perpindahan antarabangsa (ITC) dengan semua dokumen
perlu diserahkan oleh pasukan lamanya, JDT.
Ulasan
Catat Ulasan