Giliran Diaz angkat kaki


KUALA LUMPUR 27 Feb. - Selepas Ulisses Morais meninggalkan Johor Darul Ta’zim (JDT) kini giliran penyerang sensasi, Jorge Pereyra Diaz melakukan perkara yang sama.
Perkara itu disahkan sendiri oleh Pengarah Teknikal JDT, Alistair Edwards mengesahkan Diaz meninggalkan hotel penginapan sebelum skuad Harimau Selatan berlepas ke Vietnam menjelang aksi kedua Piala AFC menentang Song Lam Nghe An di Stadium Vinh, esok.
“Kami ingin memaklumkan kepada para penyokong bahawa pemain kami, Jorge Pereyra Diaz telah meninggalkan hotel penginapan pasukan pada pukul 12 tengah malam kelmarin di Singapura sebelum pasukan berlepas ke Vietnam untuk perlawanan Piala AFC.
Ejen dia telah menghubungi kami dan memberitahu tentang niat pemain tersebut yang ingin meninggalkan kelab. Kelab telah membuat keputusan untuk menghormati keputusan tersebut dan membiarkan beliau pergi.
“Kami akan mencari pengganti pemain luar negara yang baharu untuk ditandatangani apabila jendela perpindahan dibuka bulan Jun nanti,” katanya yang dipetik daripada Johor Southern Tigers (JST), di sini hari ini.
Ahad lalu, Morais melepaskan jawatannya selaku ketua jurulatih JDT di atas sebab kesihatan keluarganya selepas sembilan bulan membimbing juara Piala Malaysia itu sejak Jun lalu
Bagaimanapun, JDT tidak menunggu lama apabila mengisi kekosongan yang ditinggalkan Morais dengan penolongnya, Raul Longhi. - UTUSAN ONLINE

Ulasan