KAPTEN Kedah, Baddrol Bakhtiar tidak menafikan betapa perasaan
gementar untuk beraksi pada kancah Liga Malaysia (Liga M) tetap ada bukan
sahaja pada dirinya malah turut membabitkan kesemua rakan sepasukan.
Tambahnya, aksi pertama menentang Johor Darul Ta’zim (JDT)
tatkala ia perlawanan pertama Liga Super sememangnya beri perasaan gemuruh
apabila berdepan pasukan yang hebat kendalian Ulisses Morais.
“Walaupun pernah beraksi pada saingan Piala Sumbangsih musim
lalu, perasaan gementar tetap ada kerana kami bukan sahaja berdepan JDT yang
merupakan juara Liga Super empat musim berturut-turut malah perlu berdepan
sorakan padu penyokong mereka.
“Namun apabila permainan bermula nanti, saya optimis pemain
Kedah akan melupakan perasaan gementar dan beri fokus sepenuhnya pada
perlawanan itu dan berjuang habis-habisan memburu kemenangan.
“Kita tahu JDT ada kelebihan beraksi di laman sendiri, namun
kami akan turun dengan semangat tinggi untuk berusaha membawa pulang Piala
Sumbangsih ke bumi Darul Aman bagi permulaan positif dalam liga,” katanya pada
sidang media pra perlawanan Piala Sumbangsih di Stadium Tan Sri Hassan Yunos,
Larkin, di sini semalam.
Baddrol juga menegaskan penentuan kemenangan pada pertembungan
itu lebih terarah kepada pasukan mana yang menjaringkan gol dan pantas
mempertahankan jaringan untuk memburu kemenangan.
Katanya, tiada tekanan buat skuad Helang Merah untuk berdepan
Harimau Selatan tatkala lebih menganggap sebagai pasukan bukan pilihan
berbanding JDT yang pasti lebih tertekan yang beraksi di tempat sendiri.
“Kehadiran Pablo Pallares dan Álvaro Silva beri lagi suntikan
kekuatan Kedah pada musim ini dan kedua-dua pemain itu memiliki sikap positif
yang boleh dijadikan contoh kepada pemain muda.
“Saya
berharap salah seorang daripada mereka mampu beri sumbangan untuk Kedah melakar
kemenangan pada perlawanan itu nanti kerana kami membuat persiapan begitu rapi
bagi menghadapi JDT,” kata Baddrol.
Ulasan
Catat Ulasan