BEKAS jurulatih
kecergasan JDT, Fernando didakwa menjadi penghasut kepada Diaz hingga
menimbulkan perbalahan dengan bekas jurulatih, Ulisses Morais.
KUALA LUMPUR: Bekas
jurulatih kecergasan Johor Darul Ta'zim (JDT), Fernando didakwa menjadi punca
utama Jorge Pereyra Diaz bertindak meninggalkan kelab itu secara mengejut,
kelmarin.
Pemilik JDT, Tunku Ismail
Sultan Ibrahim menerusi satu video di laman Facebook rasmi kelab, Johor
Southern Tigers, hari ini mendakwa Fernando menjadi penghasut kepada Diaz
hingga menimbulkan perbalahan antara pemain kelahiran Argentina itu dengan
bekas jurulatih, Ulisses Morais.
Tunku Ismail yang juga
Tunku Mahkota Johor (TMJ) berkata, Fernando turut didakwa menjadi 'dalang' yang
membawa kepada berlakunya masalah antara pemain dengan tiga jurulatih JDT
sebelum ini termasuk Bojan Hodak, Mario Gomez dan Benjamin Mora.
"Morais ingin
tinggalkan JDT sebab isteri beliau akan menjalani pembedahan kecil di Portugal,
jadi beliau nak balik ke sana untuk jaga isterinya. Saya menghormati keputusannya,
tapi ada lagi satu isu beliau ada bergaduh dengan Diaz sejak pramusim.
"Bila saya buat
siasatan lebih terperinci, saya dapati masalah ini datang daripada jurulatih
kecergasan yang bernama Fernando. Kalau anda tengok tiga jurulatih sebelum ini
termasuk Hodak, Gomez dan Mora, mesti ada masalah dengan pemain.
"Apa yang terjadi,
bila jurulatih (baharu) datang ke sini (JDT), mereka akan bawa kakitangan
mereka sendiri termasuk jurulatih kecergasan dan pegawai fisioterapi.
"Jadi, Fernando rasa
kurang senang, takut tempat beliau diambil orang lain dan beliau tiada kerja.
Apa yang beliau buat, beliau menggunakan hubungan rapat dengan pemain untuk
menyucuk (menghasut) pemain bagi memastikan pemain ada masalah dengan
jurulatih," katanya.
Pengarah teknikal JDT,
Alistair Edwards dalam kenyataannya, hari ini menjelaskan Diaz yang juga
penjaring terbanyak Liga Super musim 2016 didakwa meninggalkan hotel penginapan
pasukan pada 12 tengah malam kelmarin di Singapura sebelum pasukan itu berlepas
ke Vietnam untuk aksi Piala AFC.
Selain itu, TMJ turut
mengesahkan sudah memecat Fernando dan tindakan itu dianggap menjadi punca Diaz
turut 'angkat kaki' dari kelab itu, kelmarin.
"Bila saya dapat tahu
benda ini, saya cakap lebih baik kita buang orang ini (Fernando) sebab sudah
banyak masalah dari dulu lagi, walaupun sudah bagi peluang kedua pun masih ada
masalah.
"Selepas siasatan,
saya pecat jurulatih kecergasan itu, saya bercakap dengan Alistair dan ketua
pencari bakat dan wakil delegasi asing JDT, Martin Prest bahawa saya jamin
pemain itu pun akan ikut.
"Ia kerana dia
(hubungan mereka) amat rapat dan itu yang terjadi. Jadi bila saya pecat
Fernando, pemain itu (Diaz) pun nak ikut, jadi saya ucapkan selamat
berjaya," katanya.
Ulasan
Catat Ulasan