Langkau ke kandungan utama

Diaz tinggalkan JDT tengah malam

DIAZ (atas) meninggalkan hotel penginapan pemain JDT di Singapura
DIAZ (atas) meninggalkan hotel penginapan pemain JDT di Singapura selepas berlaku salah faham dengan beberapa pemain skuad Harimau Selatan kelmarin.
SELEPAS ketua jurulatih, Ulisses Morais meninggalkan skuad Johor Darul Ta’zim (JDT), Ahad lepas, peminat kelab mewah itu sekali lagi dikejutkan dengan berita penyerang prolifik mereka, Jorge Pereyra Diaz pula ‘angkat kaki’ semalam.
Diaz, 27, dilaporkan me­ninggalkan pasukan juara empat kali Liga Super itu ketika berada di hotel penginapan pasukan pada pukul 12 tengah malam Ahad lalu.

Pengarah Teknikal Kelab Bola Sepak JDT, Alistair Edwards berkata, Diaz meninggalkan kelab tersebut ketika pemain itu bersama pasukan sebelum berlepas ke Vietnam untuk perlawanan Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC).
“Ejen beliau (Diaz) telah menghubungi kami dan memberitahu tentang niat pemain tersebut yang ingin meninggalkan kelab.
“Kelab telah membuat keputusan untuk menghormati keputusan tersebut dan membiarkan beliau pergi,” katanya di laman Facebook rasmi kelab, Johor Southern Tigers semalam.
Menurut Edward, kelab tersebut akan mencari pengganti pemain luar negara yang baharu untuk ditandatangani apabila jendela perpindahan dibuka pada Jun nanti.
Dalam pada itu, ketua jurulatih sementara JDT yang baru dilantik, Raul Longhi mengingatkan semua pemainnya dan barisan staff supaya menghormati polisi kelab.
“Tiada sesiapa yang lebih besar daripada kelab (JDT), itu adalah keutamaan saya,” katanya.
Menurut Longhi, beliau mengambil tanggungjawab terbaharu itu dengan positif walaupun sedih apabila Ulis­ses Morais tiada bersama.
“Bagaimanapun, agenda dan polisi kelab harus dite­ruskan. Bukan sahaja untuk menjaga falsafah dan agenda kelab bola sepak JDT tetapi yang paling mustahak adalah polisi kelab JDT,” katanya.
Kosmo! kelmarin melaporkan, Morais mengumumkan peletakan jawatan daripada mengendalikan kelab itu selepas sembilan bulan berkhid­mat atas alasan masalah kesihatan keluarga.
Terbaharu, penyerang prolifik dari Argentina, Diaz yang kembali semula menyarung jersi JDT pada musim ini turut meninggalkan kelab tersebut semalam.
Diaz sebelum ini pernah menjulang beberapa piala bersama JDT pada musim 2014 hingga 2016.
Hari ini, JDT akan menentang kelab Song Lam Nghe An FC pada aksi Piala AFC di Stadium Vinh Vinh, Vietnam pada pukul 3.30 petang waktu tempatan.

Ulasan