DIAZ (kiri) tinggalkan
JDT selepas pemergian Morais. FOTO/FAIL
KUALA LUMPUR: Selepas kehilangan ketua jurulatih Ulisses Morais,
kelmarin, Johor Darul Ta'zim (JDT) sekali lagi menerima tamparan hebat apabila
penyerang mereka, Jorge Pereyra Diaz pula meninggalkan kelab itu.
Pengarah Teknikal JDT, Alistair Edwards menerusi kenyataan di
laman Facebook rasmi kelab, JOHOR Southern Tigers, hari ini mengesahkan pemain
kelahiran Argentina itu menghilangkan diri sebelum mereka berlepas ke Vietnam
untuk aksi Piala AFC berdepan Song Lam Nghe An FC, esok.
Bagaimanapun, Edwards tidak memaklumkan mengenai punca sebenar
penjaring terbanyak Liga Super 2016 itu bertindak meninggalkan kelab berkenaan.
"Kelab ingin memaklumkan kepada penyokong bahawa pemain
kami, Jorge Pereyra Diaz meninggalkan hotel penginapan pasukan pada jam 12
tengah malam kelmarin di Singapura sebelum pasukan berlepas ke Vietnam untuk
perlawanan AFC.
"Ejen beliau sudah menghubungi kami dan memberitahu
mengenai niat pemain itu yang ingin meninggalkan kelab. Kelab sudah membuat
keputusan untuk menghormati keputusan itu dan membiarkan beliau pergi.
"Kami akan mencari pengganti pemain luar negara yang baharu
untuk ditandatangani apabila jendela perpindahan dibuka bulan Jun nanti,"
kata Edwards.
Kelmarin, Morais mengumumkan peletakkan jawatannya selepas
sembilan bulan membimbing juara Piala Malaysia itu sejak Jun lalu atas faktor
kesihatan keluarga.
Namun, kekosongan yang ditinggalkan jurulatih kelahiran Portugal
itu kini sudah diisi penolongnya, Raul Longhi yang dilantik sebagai jurulatih
sementara oleh JDT, semalam.
Malah, kehilangan Diaz dilihat menambah satu lagi masalah buat
JDT dengan skuad itu kini sedang memburu kemenangan kedua berturut-turut dalam
saingan Piala AFC.
JDT kini menghuni tangga teratas Kumpulan H selepas meraih
kemenangan 3-0 ke atas kelab Indonesia, Persija Jakarta di Stadium Tan Sri
Hassan Yunos pada 14 Februari lalu.
Ulasan
Catat Ulasan