INDONESIA dikatakan mungkin menjadi destinasi penyerang Johor
Darul Ta’zim (JDT), Jorge Pereyra Diaz selepas meninggalkan kelab itu,
kelmarin.
Menurut laporan football-tribe.com,
pemain berusia 27 tahun itu dikaitkan dengan kelab Persib Bandung di Indonesia
yang kini dibimbing bekas jurulatihnya di JDT, Mario Gomez.
Malah, portal berkenaan turut tidak menolak kemungkinan Diaz
berada dalam radar skuad terbabit.
“Diaz pernah dikaitkan dengan Persib sebelum ini, apabila Mario
Gomez dilantik sebagai ketua jurulatih. Gomez berkata bahawa beliau mahu
membawa masuk seorang penyerang import dan kebanyakan spekulasi pada masa itu
menyebut nama Jorge Pereyra Diaz,” kata Ketua Editor Football Tribe Indonesia,
Isidorus Rio seperti yang dilaporkan football-tribe.com.
“Spekulasi itu tamat apabila Diaz membuat keputusan untuk
kembali beraksi bersama JDT. Bagaimanapun, nama Diaz sudah mula diungkit oleh
peminat Persib di Indonesia.
“Jendela perpindahan di Indonesia masih terbuka dan Persib masih
memerlukan seorang penyerang import. Malah, spekulasi turut mengatakan bahawa
pemain berstatus ‘Marquee’ di Persib, iaitu Michael Essien, mungkin dijual atau
dilepaskan dalam masa terdekat.”
Menerusi kenyataan Pengarah Teknikal JDT, Alistair Edwards, hari
ini, Diaz yang juga penjaring terbanyak Liga Super musim 2016 didakwa
menghilangkan diri sebelum kelab itu berlepas ke Vietnam, kelmarin.
Bagaimanapun, Edwards tidak memaklumkan mengenai punca sebenar
pemain kelahiran Argentina itu bertindak meninggalkan kelabnya secara mengejut.
“Kelab ingin memaklumkan kepada penyokong bahawa pemain kami,
Jorge Pereyra Diaz meninggalkan hotel penginapan pasukan pada jam 12 tengah
malam kelmarin di Singapura sebelum pasukan berlepas ke Vietnam untuk
perlawanan AFC.
“Ejen beliau sudah menghubungi kami dan memberitahu mengenai
niat pemain itu yang ingin meninggalkan kelab. Kelab sudah membuat keputusan
untuk menghormati keputusan itu dan membiarkan beliau pergi.
“Kami akan mencari pengganti baru untuk ditandatangani apabila
jendela perpindahan dibuka bulan Jun nanti,” kata Edwards.
Skuad
JDT yang kini dibimbing jurulatih sementara, Raul Longhi akan berdepan kelab
Vietnam, Song Lam Nghe An FC, esok bagi aksi kedua Kumpulan H, saingan Piala
AFC.
Ulasan
Catat Ulasan